Orang ramai selamatkan pemandu Grab dicabul 2 penumpang warga Nepal

Dua lelaki warga Nepal yang diserang orang ramai bagi menyelamatkan seorang pemandu Grab wanita daripada dicabul.

GEORGE TOWN: Polis menahan 2 pekerja kilang warga Nepal semalam selepas didakwa mencabul seorang pemandu Grab wanita berusia 27 tahun dalam perjalanan mereka ke Bukit Mertajam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, 2 lelaki terbabit menaiki kereta Proton Saga milik wanita tersebut di stesen kereta api Bukit Mertajam untuk perjalanan ke sebuah kawasan perumahan di Juru.

Lelaki Nepal berkenaan duduk di kerusi belakang kereta itu.

Setengah perjalanan, lelaki yang berusia 23 tahun berpindah ke kerusi depan kenderaan tersebut berdekatan Jalan Song Ban Kheng.

Beliau kemudian memegang lengan pemandu dan mencium tangannya. Dia seterusnya menarik badan pemandu wanita itu ke arahnya dan menyentuh payu dara beliau.

Menurut pengadu, lelaki itu mencabul beliau 2 kali walaupun diberi amaran akan membawa mereka ke balai polis jika terus berbuat demikian.

Lelaki itu tidak mengendahkan amaran tersebut dan terus memeluknya.

Sewaktu insiden itu berlaku, rakan negaranya berusia 29 tahun yang duduk di kerusi belakang muntah.

Pemandu wanita itu yang panik memberhentikan keretanya di luar Masjid Lebai Tahir di Jalan Bukit Minyak, lalu keluar untuk meminta pertolongan.

Sekumpulan lelaki yang berada berhampiran mendekati 2 lelaki itu dan mula menyerang mereka.

Video kejadian dirakam oleh orang awam yang menunjukkan 2 lelaki warga Nepal terbaring separuh sedar dalam keadaan berdarah di tepi jalan.

Mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Kesiksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat mencabul kehormatannya.

Beliau berkata, 2 lelaki itu ditahan di bawah undang-undang imigresen selama 14 hari sementara menunggu pengesahan dokumen perjalanan mereka.

Polis juga menunggu laporan perubatan sama ada mereka meminum alkohol atau khayal kerana dadah.