Projek tambak laut hanya dibenarkan selepas P Pinang patuhi 18 syarat, kata menteri

Xavier Jayakumar berkata, MPFN secara prinsip meluluskan Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang berserta 18 syarat. (Gambar Facebook)

KUALA LANGAT: Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR) hanya boleh dilaksanakan selepas kerajaan negeri memenuhi semua 18 nasihat yang dikemukakan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau yang juga anggota MPFN berkata, selepas kerajaan Pulau Pinang mematuhi semua syarat itu, MPFN akan berbincang semula sebelum kelulusan penuh diberikan.

“…secara prinsipnya ia (PSR) diluluskan, tetapi kerajaan Pulau Pinang perlu patuhi 18 nasihat yang kita tetapkan dan sekiranya ia dipatuhi, kita boleh bagi kelulusan sepenuhnya ke atas projek itu,” katanya selepas merasmikan program Pembangunan Hab Nanas Kuala Langat di sini, hari ini.

Beliau ditanya status terkini projek itu yang cadangannya dikemukakan kerajaan Pulau Pinang bagi menjana pembangunan ekonomi negeri dan membiayai pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

MPFN sebelum ini menggariskan 18 nasihat untuk dipatuhi Pulau Pinang berserta ulasan dan syor tambahan daripada beberapa kementerian, termasuk Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mengulas program pembangunan hab nanas itu, Xavier yang juga ahli Parlimen Kuala Langat menggalakkan penduduk setempat melibatkan diri dalam penanaman nanas yang berpotensi memberi pulangan lumayan.

“Tanaman nanas ini merupakan satu industri makanan yang sangat berdaya maju kerana ia diletakkan di tempat ke-3 dalam senarai buah-buahan utama negara.

“Sebab itu saya sangat menyokong apabila ada pihak yang mahu bekerjasama, termasuk Jabatan Pertanian dan Universiti Putra Malaysia dalam projek pembangunan hab nanas di Kuala Langat ini.”

Beliau berkata, untuk permulaan, 72 penduduk berdaftar dalam program itu membabitkan kawasan seluas 29.6 hektar.