Tubuh pasukan petugas segera, gesa keluarga Pastor Koh, kumpulan Kristian

Susanna Liew menyerahkan satu salinan penemuan Suhakam kepada Pengerusi CFM, Julian Leow Beng Kim (kiri).

KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan Kristian dan keluarga Pastor Raymond Koh, seorang daripada individu didakwa menjadi mangsa “kehilangan paksa”, menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap cadangan dikemukakan inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Anak perempuan Koh, Esther berharap kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas secepat mungkin untuk menyiasat mereka yang didakwa menculik Koh dan aktivis berpangkalan di Perlis, Amri Che Mat.

“Kami mahu jaminan mutlak daripada kerajaan yang jenayah ini tidak akan berulang di negara kita lagi,” katanya dalam sidang media diadakan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) di Majlis Gereja di Petaling Jaya, hari ini.

“Di negara ini, walaupun anda ialah pengedar dadah, pembunuh, perogol atau pengganas, anda ada hak.

“Anda perlu ditahan terlebih dahulu, disiasat, didakwa dan kemudian dibicarakan. Anda ada hak untuk mempertahankan diri.

“Ayah saya dinafikan hak ini. Beliau terus diculik polis.”

Pada 3 April lalu, Suhakam menyimpulkan Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab terhadap kehilangan Koh, yang dilihat diculik beberapa lelaki pada waktu siang Februari 2017.

Spekulasi timbul yang penculikannya mungkin ada kaitan dengan dakwaan beliau cuba menyebarkan agama Kristian, tetapi ia disangkal ahli keluarganya.

Isteri Koh, Susanna Liew memberitahu FMT, beliau masih percaya ada pihak cuba menutup perkara itu.

“Penemuan Suhakam turut menunjukkan perkara itu.

“Suhakam hanya mengadakan inkuiri. Kuasa mereka terhad dan itupun didedahkan dalam cara mereka (polis) menjalankan tugas, cara mereka cuba menutup atau mereka cerita dan perkara sedemikian,” katanya sambil menambah saman sivil ialah jalan terakhir keluarganya.

Beliau berkata, sejak inkuiri terakhir Suhakam pada awal bulan ini, hanya Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin menghubunginya untuk mengadakan pertemuan.

“Saya beri beliau satu salinan penemuan Suhakam dan saya rasa beliau sudah menelitinya. Beliau membuat satu kenyataan tiada perkara akan disembunyikan.”

Liew berkata, beliau secara peribadi merayu Muhyiddin menubuhkan pasukan petugas dalam tempoh sebulan.

Susanna Koh bersama anaknya, Jonathan Koh dan Esther Koh pada sidang media hari ini.

“Tiga minggu berlalu, ia adalah sukar. Saya berharap mereka akan tubuhkannya dalam masa sebulan. Saya tidak fikir ia begitu susah.”

Liew bersama anaknya, Jonathan dan Esther yang menghadiri sidang media hari ini, berharap pasukan petugas itu akan ditubuhkan di bawah peguam negara dan diberikan kuasa untuk mendakwa serta membuka dokumen yang didakwa polis diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sepanjang 18 bulan inkuiri Suhakam, katanya, polis berulang kali enggan menyediakan dokumen tertentu dengan alasan ia terletak di bawah OSA.

Terdahulu, Liew menolak pelbagai kenyataan pengkritik yang menyifatkan penemuan Suhakam sebagai “khabar angin”.

“Kami sudah melalui inkuiri selama 18 bulan. Kami nampak cara mereka menyoal polis.”

Beliau turut memuji pengerusi panel inkuiri Suhakam, Mah Weng Kwai yang menyediakan laporan komprehensif meliputi pelbagai kemungkinan.

“Mereka berusaha keras,” katanya.

Pengerusi CFM, Julian Leow Beng Kim berkata, pihaknya akan mencari “setiap cara” yang ada untuk menyampaikan masalah dihadapi keluarga Koh dan Amri kepada kerajaan, Parlimen dan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Kami menggesa semua pihak berkuasa berusaha sedaya upaya mengesan dan memastikan Koh serta Amri dibebaskan segera.”

Katanya, mereka sudah mula berunding dengan beberapa anggota Kabinet.

“Selepas ini, CFM akan menulis surat kepada perdana menteri untuk mengadakan pertemuan dengan keluarga individu ‘kehilangan paksa’ ini.”

Mahathir sebelum ini berkata, kenyataan Suhakam mengenai kehilangan Koh sekadar khabar angin dan Suhakam perlu membuktikan dakwaan mereka.

Mengenai peranan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun, perdana menteri dilaporkan berkata, beliau ialah ketua Cawangan Khas pada 2017, tetapi beliau akan bersara bulan depan.

“Kita akan biarkan beliau bersara terlebih dahulu dan akan ada ketua polis negara lain menjalankan siasatan.”