Xavier: Putrajaya belum putus bayar pampasan rizab tadahan air kepada negeri

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar.

KUALA LUMPUR:Kerajaan belum membuat keputusan untuk memberi pampasan kepada mana-mana negeri yang kawasan hutan simpan dan hutan rizab hidupan liarnya digunakan sebagai kawasan tadahan air, kata Xavier Jayakumar

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu berkata, semua negeri, bukan sahaja Pahang mahu menuntut pampasan, namun sama ada mereka akan diberikan pampasan atau tidak adalah satu isu berbeza.

“Kita belum buat keputusan untuk memberi pampasan kepada mana-mana negeri berhubung isu tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Hari Bumi di Taman Tugu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan kerajaan Pahang yang mahu menuntut pampasan sebanyak RM17.1 billion daripada Putrajaya bagi menyelesaikan masalah hutang yang ditanggung oleh negeri itu sebelum ini.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi hutan simpan dan hutan rizab hidupan liar yang dijadikan kawasan tadahan air, kos melepas bagi kerajaan negeri berjumlah RM16.4 bilion.

“Kerajaan negeri kerugian hasil pembalakan, mineral dan premium hasil sawit serta cukai tanah di kawasan seluas kira-kira 33,000 hektar, kos melepasnya berjumlah RM692 juta.

“Jumlah keseluruhan kos melepas yang ditanggung ialah RM17.1 bilion. Jadi dalam hal ini, kita akan berjumpa dengan kerajaan Pusat untuk meminta jumlah ini dan kemudian ditolak daripada hutang kerajaan negeri sebanyak RM3.17 juta billion,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Xavier menggalakkan kerajaan negeri mengambil peluang meningkatkan ekonomi dengan menjadikan hutan sebagai sumber baru di samping memeliharanya.

“Kerajaan kini sedang merancang untuk meneruskan industri perhutanan dan menjadikan hutan sebagai sumber ekonomi baru.

“Saya fikir kerajaan negeri perlu mengambil peluang ini. Ini adalah model perniagaan baru yang lumayan,” katanya.