5 pegawai JPJ direman dalam siasatan rasuah lindungi pemandu lori

Majistret memerintahkan 5 pegawai JPJ itu direman 7 hari bermula hari ini. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Lima daripada 22 penguat kuasa dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang ditahan semalam, direman 7 hari bagi membantu siasatan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya, khususnya membawa muatan lebih di sekitar negeri ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret L Umma Devi bermula hari ini hingga Sabtu depan, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, kelima-lima penguat kuasa dan pegawai JPJ itu tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10.10 pagi dengan memakai pakaian biasa dan diiringi anggota serta pegawai SPRM.

Lima individu itu adalah antara 22 penguat kuasa dan pegawai JPJ negeri, berusia antara 32 hingga 55 tahun, yang ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini semalam.

Bagaimanapun, 17 individu yang lain dibebaskan dengan jaminan.

Semalam, menurut sumber SPRM penahanan itu merupakan siasatan peringkat kedua dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi, termasuk penguat kuasa dan pegawai kanan JPJ yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Kelmarin, 23 daripada 24 penguat kuasa JPJ negeri yang direman SPRM Rabu lepas, dibebaskan dengan jaminan, manakala seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan ke atasnya belum selesai.

Rabu lepas, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan permohonan reman 7 hari terhadap 30 individu, termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang.

Perintah reman itu dibuat susulan tangkapan dilakukan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang pada jam 10 pagi hingga 10 malam, Selasa lepas.