Daim dakwa Najib abai nasihat Unit Perancang Ekonomi mengenai ECRL

Daim Zainuddin turut mempersoalkan motif Najib Razak di sebalik perjanjian lama ECRL dan kenapa syarikat Bumiputera tidak diberikan keistimewaan untuk mendapat bayaran pendahuluan sebanyak 15%.

KUALA LUMPUR: Daim Zainuddin mempersoalkan sama ada wakil khas bekas perdana menteri yang bertindak secara bersendirian terbabit dalam rundingan terus untuk kontrak lama Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“Adakah wakil peribadi bekas PM atau adakah wakil rasmi kerajaan, seperti yang sepatutnya (terbabit) dalam kes ini?” soalnya sama ada wakil peribadi itu berunding secara terus dengan Beijing dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menyebabkan perjanjian lama ditandatangani pada kos amat tinggi, tanpa ketelusan serta akauntabiliti.

“Adakah ia disediakan EPU (Unit Perancang Ekonomi) seperti sepatutnya dalam kes ini atau adakah EPU hanya diarahkan untuk menerima kertas cadangan yang disediakan agensi lain?” soalnya.

Daim yang juga wakil khas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad ke China untuk merundingkan semula kontrak ECRL lama, membangkitkan persoalan ini sebagai respons kepada Najib Razak yang jelas amat aktif di media sosial dalam mempertahankan perjanjian lama ditandatangani pentadbirannya.

“Bekas perdana menteri telah ‘mengabaikan nasihat baik’ daripada agensi kerajaannya sendiri – iaitu EPU – dengan mempertaruhkan rakyat dalam mendesak projek ECRL yang lama pada kos amat tinggi, iaitu RM65.5 bilion,” kata Daim dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

“Apakah EPU tidak menyatakan dengan jelas bantahan dan kebimbangannya berhubung kertas yang dibentangkan kepada Kabinet dan kenapa bantahan dan kebimbangan berkenaan diabaikan – mungkin bekas perdana menteri dan menteri bertanggungjawab ke atas EPU dapat memberi pencerahan kepada kita.

“Bekas PM berkata, beliau ada ‘keraguan’ mengenai perjanjian ECRL yang baru.

“Saya ingin mengingatkan beliau seluruh Malaysia mempunyai lebih banyak ‘keraguan’ mengenai perjanjian ECRL yang lama – konsepnya yang kabur, kurang ketelusan, kurang integriti, kelulusan tergesa-gesa, butiran tidak jelas, kos amat tinggi, tiada akauntabiliti kepada rakyat dan lain-lain lagi.”

Katanya, terdapat beberapa cubaan untuk menjustifikasikan perjanjian ECRL lama, sepertimana yang dicadangkan kajian McKinsey yang dibentangkan kepada Majlis Ekonomi pada 2015 dan 2016.

“Saya telah dimaklumkan pihak yang boleh dipercayai bahawa kajian yang mencadangkan jajaran ECRL dari Tumpat ke Gombak dan projek itu akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 18 tahun dengan kos RM47 bilion.

“Ini sudah tentu membabitkan pulangan ekonomi yang rendah dan oleh itu laporan mencadangkan fasa 1 adalah dari Mentakab ke Dungun dan dibina untuk trafik penghantaran sahaja.

“Namun, kita semua tahu apa yang berlaku. Bekas PM sebaliknya menandatangani perjanjian ECRL dengan kos RM66.7 bilion dan memutuskan untuk melaksanakannya sekali gus.”

Katanya, dalam dapatan dan cadangan bagi kajian pasaran ECRL yang dilaksanakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat pada Jun 2016, responden meminta diberikan 24 bulan untuk menyediakan hujahan bidaan.

“Namun, kerajaan BN memilih untuk memberikan projek itu dalam masa hanya 2 bulan kemudiannya pada Ogos 2016 menerusi pemberian terus (dan) ini juga di sebalik minat yang ditunjukkan beberapa pembida lain.

“Kenapa menteri kewangan ketika itu – yang juga merupakan bekas PM – bersetuju dengan bayaran pendahuluan 15% kepada CCCC untuk projek ECRL.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan kerajaan sentiasa menetapkan bayaran pendahuluan sebanyak 5-10% yang biasanya dihadkan kepada kontrak melibatkan penyediaan bekalan.

“Malah, syarikat-syarikat Bumiputera tidak diberikan keistimewaan seumpama itu. Kenapa bekas PM tergesa-gesa membayar lebih RM10 bilion kepada CCCC?

“Kita perlu bertanya kepada beliau apa motif beliau di sebalik semua perkara ini,” katanya.

Daim, selepas 9 bulan berusaha keras, berjaya merundingkan semula perjanjian tambahan bagi ECRL dengan harga dikurangkan kepada RM44 bilion, iaitu pengurangan sebanyak 32.8% atau RM21.5 bilion berbanding harga lama RM65.5 bilion.

Beliau berkata, ada kemungkinan harga dapat dikurangkan lagi pada perbincangan teknikal di masa depan antara pemilik projek Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan CCCC.

“Apa yang kita ada sekarang dengan perjanjian ECRL yang baru adalah ianya telus, bertanggungjawab dan boleh dipercayai dengan semua fakta dan angka disediakan untuk pengetahuan orang ramai.”

Katanya, ECRL tidak lagi diselubungi rahsia, dipenuhi kontroversi atau elemen tidak perlu serta sangat mahal,

“Ia kini projek yang berfungsi pada kadar lebih mampu untuk berkhidmat kepada rakyat, yang kepentingan mereka menjadi keutamaan apabila mengusahakan dan meluluskan sebarang inisiatif kerajaan.”

Menjawab dakwaan perjanjian ECRL yang ditambah baik itu bukan perkara besar sebenarnya, Daim berkata: “Saya mendapati tidak berbaloi untuk berhujah dengan mereka yang tidak bercakap secara munasabah dan sebaliknya lebih suka menyebarkan berita palsu, sepertimana yang dilakukan bekas PM kebelakangan ini.

“Saya lebih suka mendengar pendapat pakar dan berhujah secara logik.”