Malaysia perlu dapatkan terma perjanjian lebih baik daripada China, kata profesor AS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden China Xi Jinping bergambar sempena pertemuan 2 hala di Beijing Ogos tahun lepas.(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Malaysia perlu berusaha mendapatkan terma perjanjian lebih baik bagi projek yang diberikan kepada kontraktor China, kata seorang profesor yang berpangkalan di New York.

Menulis dalam majalah Forbes, Panos Mourdoukoutas berkata, ini kerana Malaysia telah pun terperangkap dalam “jaringan China dan tidak ada ruang untuk melepaskan diri daripadanya”.

“Langkah paling baik yang boleh dibuat ialah membawa Beijing ke meja rundingan dan cuba mendapatkan terma lebih baik untuk projek yang sedang berjalan,” kata Mourdoukoutas, pensyarah di Universiti Long Island.

Beliau berkata, selepas menjadi perdana menteri berikutan keputusan pilihan raya umum tahun lepas, Dr Mahathir telah menyuarakan mesej tegas kepada Beijing tentang azam dan kemahuan beliau mengawal hala tuju negara dengan membatalkan projek China yang berprofil tinggi di Malaysia.

“Jelas bahawa beliau mahu Malaysia menghindari perangkap hutang China, yang telah menyebabkan negara seperti Sri Lanka tiada pilihan selain menyerahkan projek yang dibebani hutang di negara itu kepada Beijing,” tulisnya.

Bagaimanapun kata beliau, “pemberontakan Dr Mahathir” terhadap China tidak bertahan lama.

“Sekarang, hasil paling baik yang boleh dicapai beliau ialah membawa China ke meja rundingan bagi mengurangkan kos pelaburan projek yang diberikan kepada kontraktor China.”

Minggu lepas, Mourdoukoutas menyebut, China bersetuju mengurangkan 1/3 kos pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Kata beliau, minggu ini, 2 negara itu bersetuju memulakan semula projek Bandar Malaysia yang akan dijalankan oleh kontraktor asalnya, iaitu satu usaha sama antara Iskandar Waterfront Holdings dengan China Railway Engineering Corp (CREC) dengan beberapa ubah suai.

Ubah suai itu termasuklah pembinaan 10,000 unit rumah mampu milik, selain penggunaan sumber tempatan.

“Apakah yang melunakkan pendirian Malaysia terhadap China? Beberapa perkara, saya fikir.

“Salah satunya ialah jumlah kos hangus yang besar melibatkan projek sedang berjalan, dan kesukaran mendapatkan sumber pembiayaan alternatif bagi meneruskannya.

“Selain itu, Malaysia bergantung kepada China bagi eksportnya,” kata beliau.

Mourdoukoutas berkata, pada tahun lepas, China merupakan pasaran terbesar eksport Malaysia, iaitu sebanyak AS$42.5 bilion (RM175.63 bilion), diikuti Singapura dan Amerika Syarikat.

“Ini memberikan kelebihan besar kepada Beijing dalam menangani tindak-tanduk “tidak masuk akal” di pihak Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk menyambung semula projek Bandar Malaysia dibuat selepas Malaysia menandatangani memorandum persefahaman dengan China berhubung pertukaran mata wang dan rancangan untuk menambah import durian sejuk beku serta minyak sawit.