MB Perak: Datuk Bandar baru Ipoh dilantik akhir bulan ini

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

IPOH: Pelantikan Datuk Bandar Ipoh yang baru akan dibuat akhir bulan ini dan bukan merupakan lantikan politik, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, calon bagi jawatan itu, seorang anak tempatan yang mahir berbahasa Jepun untuk menggantikan penyandang sebelum ini, Zamri Man, mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

“Masalah ketiadaan Datuk Bandar Ipoh ini akan selesai dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perletakan batu asas Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin di Tanah Hitam, Chemor di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, demikian sebagai mengulas status Zamri yang tidak bertugas sejak beberapa bulan lalu kerana dikatakan mempunyai masalah kesihatan.

Ditanya lanjut status Zamri sama ada dipecat atau sebaliknya, Ahmad Faizal berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“SUK akan ambil tindakan, ada prosedur tertentu berkenaan dengan masalah sedemikian…yang penting Datuk Bandar baru akan mulakan tugas dan segala urusan di Majlis Bandaraya Ipoh akan berjalan seperti biasa.

Ditanya jika pihak kerajaan negeri mengetahui ketidakhadiran bertugas Zamri kerana masalah kesihatan, Ahmad Faizal berkata, “beliau tidak kelihatan di mana-mana, tiada apa-apa maklumat mengenainya”.