Menteri: Rakyat perlu faham peranan Raja-raja dalam perlembagaan

Menteri di JPM, Senator P Waytha Moorthy berkata, selepas merasmikan perhimpunan perpaduan Rukun Tetangga dan persatuan penduduk peringkat zon selatan (Melaka dan Johor) 2019 di Ayer Keroh, semalam. (Gambar Bernama)

MELAKA: Rakyat perlu diberi pemahaman yang jelas mengenai kedudukan Raja-raja yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan mereka melemparkan fitnah terhadap institusi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berkata, rakyat perlu lebih faham peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Raja-raja sebagai Ketua Negeri bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.

“Masyarakat harus faham kedudukan perlembagaan, jadi kita perlu memperbanyak ‘outreach to educate people’ tentang peruntukan perlembagaan yang memberikan kedudukan khas kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja di negara ini.

“Janganlah sesiapa cuba mengungkitkan apa-apa isu (berkaitan perlembagaan) yang boleh menyakiti hati raja-raja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Perpaduan Demi Negara Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk Peringkat Zon Selatan (Melaka dan Johor) 2019 di Ayer Keroh, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Adly Zahari.

Waytha Moorthy juga berkata, rakyat perlu lebih berhati-hati menggunakan media sosial berikutan segala perkara yang ditimbulkan melalui medium itu mampu menjejaskan hubungan perpaduan antara kaum yang terdapat di negara ini.

Ketika berucap pada majlis berkenaan beliau berkata, pihak (Kawasan Rukun Tetangga) KRT dan persatuan penduduk di seluruh negara perlu menggunakan jaringan media sosial sebagai platform menyebarkan maklumat dan berita yang benar-benar sahih.

“Penggunaan media sosial boleh mempengaruhi tingkah laku komuniti, justeru penyebaran maklumat tidak sahih akan menimbulkan keresahan dan kegusaran komuniti sehingga membawa kepada perpecahan.

Beliau berkata, warga KRT dan persatuan penduduk boleh merujuk portal Sebenarnya.my­ yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimeda Malaysia (SKMM) yang berfungsi sebagai pusat sehenti kepada rakyat menyemak sebelum berkongsi berita yang belum ditentukan kesahihannya.

Sehingga kini, terdapat 8,163 KRT dan 7,944 persatuan penduduk direkodkan di seluruh negara.