PNB jangan leka tunai tanggungjawab, jaga amanah pelabur, kata PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, salah guna kuasa dalam tadbir urus, kemerosotan integriti, penyelewengan dan rasuah serta ketirisan seperti berlaku dalam institusi pelaburan lain perlu dielakkan dalam PNB.

SUNGAI PETANI: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan kepimpinan dan pengurusan Permodalan Nasional Bhd (PNB) supaya tidak leka dalam menunaikan tanggungjawab dan menjaga amanah mendukung harapan serta aspirasi para pelaburnya.

Beliau berkata, tanggungjawab PNB amat berat kerana para pelaburnya sentiasa mengharapkan pulangan pelaburan yang baik untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Beliau berkata, salah guna kuasa dalam tadbir urus, kemerosotan integriti, penyelewengan dan rasuah serta ketirisan seperti yang berlaku dalam institusi pelaburan yang lain perlu dielakkan dalam PNB.

“(Jika berlaku) akhirnya kerajaan terpaksa campur tangan, tapi ia bukanlah satu penyelesaian kerana imej yang tercalar tidak mudah untuk diperbaiki dan keyakinan rakyat khususnya pelabur tidak mudah dikembalikan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi rakaman video pada perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika berlaku penyelewengan dalam PNB, maruah bangsa juga akan tercalar selamanya kerana peranan PNB bukan hanya terhad untuk kepentingan ekonomi semata-mata, malah turut meliputi kepentingan sosial.

“PNB banyak menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang memberi impak tinggi kepada masyarakat yang berteraskan pendidikan sehingga kepada penajaan melalui pemberian biasiswa, kebajikan dan lain-lain sumbangan yang memberi manfaat signifikan kepada pelbagai lapisan masyrakat,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pencapaian PNB itu merupakan manifestasi profesional PNB dalam menggembleng pelaburan rakyat yang setia dan memberi kepercayaan kepada PNB.

Menurut perdana menteri, PNB berjaya mengumpul dan mengembangkan asetnya sehingga mencecah RM298.5 bilion dengan jumlah 13.8 juta pemegang akaun yang membawa nilai aset sebanyak RM236.6 bilion.

Katanya, sejak edisi pertama MSAM 20 tahun lalu, penganjurannya menerima lebih 3.8 juta pengunjung secara kumulatif, termasuk masyarakat dari luar bandar.