Tak perlu bertelagah, biar JK Khas Parlimen kaji pindaan perlembagaan, kata Nancy

Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri.

KUCHING: Seorang ahli Parlimen dari Sarawak mengalu-alukan pembentukan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri berkata, PSC perlu mengkaji usul pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ia dibentangkan semula.

Beberapa ahli Parlimen mencadangkan satu usul bagi mewujudkan PSC semasa rang undang-undang bagi meminda perlembagaan dibentangkan baru-baru ini yang bertujuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun usul itu tewas apabila 136 ahli Parlimen mengundi menolaknya, 60 menyokong dan 1 berkecuali.

Nancy berkata, ahli Parlimen dari Sarawak tidak pernah menolak rang undang-undang itu, tetapi mahu cadangan pindaan tersebut dibawa kepada PSC sebelum ia dibentangkan.

Beliau berkata, bertelagah tentang pindaan itu secara terbuka tidak akan menyelesaikan masalah.

“Daripada bertelagah dan mengelirukan orang ramai, kita harus membenarkan pakar dalam jawatankuasa itu mengkaji cadangan berkenaan,” katanya selepas menghadiri satu acara belia di sini, semalam.

Terdahulu menteri undang-undang, Liew Vui Keong mengumumkan bahawa sebuah PSC akan diwujudkan bagi mengkaji pelaksanaan MA63.

Beliau berkata, PSC tersebut, yang bakal dianggotai ahli Parlimen, akan melengkapkan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai MA63.

“Kami (kerajaan persekutuan) menyedari sebuah jawatankuasa melibatkan ahli Parlimen adalah perlu bagi menjayakan pelaksanaan MA63,” katanya kepada pemberita di Sandakan semalam.