Teka-teki inkues Adib: Kenapa kementerian panggil saksi pakar sendiri?

Dr Shahrom Abd Wahid dipanggil oleh peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memberi keterangan dalam inkues ke atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

PETALING JAYA: Seorang peguam kanan menimbulkan persoalan berkaitan keterangan seorang pakar patologi pesaing dalam inkues ke atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Bercakap kepada FMT, Sankara Nair berkata, “adalah tidak wajar dan saling berlawanan” bagi peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memanggil pakar patologinya sendiri, iaitu Dr Shahrom Abd Wahid, untuk memeriksa laporan pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

HKL berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.

“Ini adalah satu inkues dan pakar patologi HKL merupakan pakar yang ditauliahkan dalam semua inkues dan perbicaraan di Malaysia,” kata Nair, yang pernah terlibat dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai insiden mata lebam Anwar Ibrahim dan kematian Teoh Beng Hock serta inkues kematian model Belanda, Ivana Smit.

“Kementerian lain tidak ada urusan membabitkan pakar patologi bagi mencabar pakar HKL. Tidak masuk akal apabila peguam kementerian lain kelihatan tidak mahu bergantung atau menerima laporan pakar patologi HKL.”

Sankara Nair.

Shahrom memberi keterangan bahawa “hampir mustahil” Adib keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berundur dalam usaha beliau menyelamatkan diri daripada rusuhan yang berlaku di luar kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November tahun lepas.

Sebelum itu doktor dari HKL memberi keterangan bahawa mereka percaya Adib keluar dari tempat duduk penumpang depan van berkenaan.

Mereka juga berkata, tidak ada kecederaan yang menunjukkan anggota bomba itu dipukul seperti didakwa.

Nair dan seorang lagi peguam, N Sivananthan mempersoalkan motif di sebalik langkah kementerian berkenaan memanggil pakar patologinya sendiri untuk memberi keterangan.

“Sangat pelik apabila kementerian memanggil seseorang yang tidak terlibat dalam autopsi atau inkues itu sendiri,” Sivananthan memberitahu FMT.

Beliau berkata, kementerian nampaknya tidak gembira dengan pandangan yang diberikan pakar patologi HKL.

Nair juga bertanya sama ada pakar patologi kementerian itu terlibat memeriksa mayat Adib atau melawat tempat kejadian.

N Sivananthan.

“Sangat penting beliau berbuat demikian, atau keterangannya hanyalah agak-agak dan melucukan.”

Nair berkata, beliau bimbang berhubung bantahan yang dibangkitkan oleh peguam kementerian dan keluarga Adib terhadap langkah mahu memanggil semula pakar patologi HKL bagi memberi keterangan lanjut.

“Jelas pegawai pelaksana mempunyai alasan kukuh untuk memanggil semula pakar patologi HKL untuk memberi pandangan berhubung pendapat baru yang diketengahkan itu. Peguam tidak harus menolak langkah itu kerana ia juga memberi peluang kepada mereka untuk memeriksa balas perkara tersebut.”

Seorang peguam lain, Saiful Izham Ramli tidak bersetuju dengan berkata, tidaklah pelik bagi kementerian berkenaan mengemukakan keterangan pakar patologinya sendiri.

Beliau berkata, “inkues tersebut adalah bagi menentukan sebab kematian Adib, bukannya satu prosiding jenayah yang lebih ketat peraturan dan prosedurnya”.

Beliau juga berkata, 2 kementerian itu mewakili 2 pihak berkepentingan yang berbeza. Hospital mewakili kerajaan, sementara pakar patologi yang satu lagi mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menyelia Jabatan Bomba dan Penyelamat.