Azizulhasni perlu capai 2kg lagi untuk berdepan cabaran Olimpik Tokyo 2020

Azizulhasni dalam usahanya untuk menambah lagi 2kg demi menyahut cabaran Olimpik Tokyo 2020. (Gambar Bernama)

Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang hanya kekurangan lagi 2kg saja untuk mencapai berat jisim otot 75kg dalam meningkatkan henjutan kayuhannya menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebelum ini, bekas jaguh keirin nombor satu dunia yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu pernah menyatakan hasrat untuk menambah berat jisim otot daripada 70kg kepada 75kg memandangkan terdapat kelemahan daripada aspek fizikalnya.

“Saya setakat ini sudah berjaya menambah jisim otot sebanyak 3kg, dengar macam sikit tetapi ia memerlukan kerja kuat dengan senaman selain rutin pengambilan makanan antara enam hingga tujuh kali sehari.

“Kemajuan berat jisim otot ini boleh tambah kekuatan dan tenaga buat saya bagi menyertai mana-mana kejohanan termasuk di peringkat dunia,” katanya memetik laporan media.

Bagaimanapun, Azizul berkata program itu tidak akan merencatkan usahanya untuk mempersiapkan diri menghadapi kejohanan di Eropah antaranya Jerman, United Kingdom dan Ireland pada Jun ini.

Setakat ini, pelumba berusia 31 tahun itu berada di ranking kedua terbaik dunia dalam acara keirin dan kedudukan ke-22 bagi acara pecut.

Mengenai hasrtanya penubuhan ‘Team Azizul’, dia mengesahkan bahawa pasukan impiannya itu kini sudah mendapat kelulusan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk beraksi.

Namun, apa yang mengejutkan bekas pemenang jersi pelangi keirin Kejohanan Trek Dunia 2017 itu apabila terdapat pemintaan dari pelumba wanita Australia untuk menyertai pasukan itu, sambil mengakui perkara berkenaan perlu dibincangkan bersama jurulatih dan pihak penaja.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]