KPN: Akaun FB ‘Sabah Sarawak Merdeka’ mungkin milik warga asing

Mohamad Fuzi Harun.

KUANTAN: Polis tidak menolak kemungkinan akaun “Sabah Sarawak Merdeka” di Facebook milik warga asing yang cuba mencetuskan provokasi, kata Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun.

Fuzi berkata polis sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjejaki suspek-suspek terlibat.

“Akaun yang dilaporkan menghina Agong melalui hantaran di laman mereka didapati dinyahaktif beberapa hari lalu dan kemudian aktif semula, tetapi kita tidak dapat mengesan pemiliknya.

“Polis tidak berdiam diri dan masih menunggu hasil bantuan SKMM dan sehingga Jumaat lalu sebanyak 267 laporan polis berkaitan kes tersebut diterima di seluruh negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Markas Briged Tenggara PGA Kem Bukit Galing hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Abdul Rahim Jaafar.

Seramai 222 orang pegawai dan anggota polis, yang berkhidmat semasa darurat sehingga 1990 menerima pingat tersebut.

Sementara itu, polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraan kes bekas perdana menteri, Najib Razak, yang dimuat naik melalui laman sosial Facebook, Jumaat lalu.

Menurut Fuzi, kertas siasatan akan diserahkan kepada pegawai pendakwa raya selepas lengkap untuk tindakan susulan.

Rakaman itu dimuat naik menerusi akaun FB bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil Jumaat lalu dan sudah ditonton lebih 227,000 kali, selain dikongsi lebih 3,700 akaun FB dan mendapat lebih 1,900 komen.

Rakaman CCTV itu dipercayai sedutan prosiding hari ke-5 Najib di Mahkamah Kuala Lumpur.