Najib beri wang kepada keluarga bekas setiausaha, kata saksi

KUALA LUMPUR: Seorang balu bekas setiausaha Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia menerima RM13,800 daripada Najib pada 2015.

Manisah Othman berkata suaminya, Amirudin Mohd Baria, bekerja dengan Najib sebagai setiausaha sulit ketika Najib menjadi menteri pendidikan dari 1995 hingga 2000.

Amirudin kembali bekerja dengan Najib semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri. Dia meninggal dunia pada Jun 2013 kerana kanser kolon.

Manisah memberitahu mahkamah bahawa Najib memberi bantuan kewangan untuk pendidikan 2 anaknya selepas kematian Amirudin.

“Saya menerima RM13,800 dalam bentuk cek daripada salah seorang pegawai Najib, Khairul,” katanya kepada timbalan pendakwa raya, Mohd Saifuddin Hashim Musaimi dalam perbicaraan rasuah Najib berkaitan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Manisah berkata Najib melawat suaminya semasa dia dimasukkan ke hospital, sebulan sebelum meninggal dunia.

“Najib berjanji akan bantu pendidikan anak-anak saya,” katanya.

Manisah, seorang perangkawan di Jabatan Perangkaan Malaysia, menggunakan wang itu untuk membayar yuran tuisyen anak-anak.

Ditanya peguam Najib, Shafee Abdullah, sama ada anak guamnya ada memberikan bantuan kewangan kepada keluarga Amirudin sebelum 2015, dia berkata Najib beri kepada keluarganya RM9,360 pada 2013 dan RM29,520 pada 2014.

Manisah berterima kasih kepada Najib kerana menunaikan janjinya.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Abdul Munir Othman memberitahu mahkamah bahawa dia menerima RM400,000 daripada Najib untuk senggaraan Yayasan Rumah Penyayang di Pekan, Pahang.

Najib adalah penaung yayasan itu.

Munir berkata yayasan itu menyediakan asrama untuk anak yatim dan tujuan dana itu untuk menanggung perbelanjaan.

Beliau berkata cek diberikan kepada pemegang amanah yayasan itu.

Pegawai penyiasat Bank Negara Malaysia, Ahmad Farhan Sharifudin, dipanggil semula ke mahkamah untuk menerangkan barang-barang yang dirampas dari ibu pejabat AmBank pada 6 Julai 2015.

Farhan merampas 4 thumb drive, 1 cakera keras, dan 2 telefon bimbit daripada 3 pegawai AmBank.

Pendengaran di depan Hakim Nazlan Ghazali bersambung esok.

Najib berdepan 3 pertuduhan pecah amanah, 1 pertuduhan salah guna kedudukan dan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.