STAR bagi laluan kepada PBS bertanding PRK Sandakan

Jeffrey Kitingan, presiden Parti Solidariti Tanah Airku.

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengambil keputusan untuk tidak bertanding pilihan raya kecil Parlimen Sandakan dan akan menyokong Parti Bersatu Sabah (PBS), rakannya dalam Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Presiden STAR, Jeffrey Kitingan berkata keputusan itu dicapai selepas siri rundingan, termasuk dengan Presiden PBS, Maximus Ongkili.

“Saya mengesahkan kami tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti bagi memberi laluan kepada rakan kami dalam GBS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jeffrey menamakan ahli ekonomi Liew Wean Chee, 50, sebagai calon STAR pada awal bulan ini.

Beliau berkata Liew, yang juga ketua bahagian Tanjung Papat, menerima keputusan parti itu.

Liew menghormati keputusan parti dan merayu penyokongnya jangan hampa dan sebaliknya menyokong calon GBS.

“Saya akan bantu PBS dalam kempen bagi memastikan kemenangan GBS,” katanya.

Setiausaha Agung STAR, Guandee Kohoi berkata parti itu menamakan Liew sebagai calon kerana percaya dia berpeluang merampas kerusi itu daripada Pakatan Harapan.

“Kita akan berkempen dan menyokong PBS pada pilihan raya kecil itu,” katanya.

Terdahulu, Ongkili mengumumkan PBS mahu bertanding di Sandakan tetapi belum menamakan calonnya, akan akan dipilih daripada “senarai nama-nama berpotensi yang panjang”.

Kerusi Sandakan kosong selepas kematian Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong pada 28 Mac.

Hari penamaan ditetapkan pada 27 April dan hari mengundi pada 11 Mei.

Parlimen itu mempunyai 39,777 pengundi, 49% daripadanya berketurunan Cina, 44% Bumiputera beragama Islam dan 6% Bumiputera bukan Islam.