Tok Mat angkat sumpah Adun Rantau

Menteri Besar Aminuddin Harun (kiri) mengucapkan tahniah kepada Adun Rantau, Mohamad Hasan pada Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan ke-14 hari ini. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan hari ini mengangkat sumpah sebagai Adun selepas menang dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau, pada 13 April lepas.

Mohamad yang juga pemangku presiden Umno mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Ke-14, hari ini.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir merasmikan istiadat tersebut.

Turut hadir Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Pada PRK DUN Rantau 13 April lepas, Mohamad menang dengan majoriti 4,510 undi menewaskan 3 pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram, dan 2 calon bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Bekas menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh 10,397 undi, Dr Streram yang juga timbalan ketua PKR Cabang Rembau dan pakar bius mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi.

Kemenangan Mohamad bagi kerusi itu merupakan kali ke-4 sejak disandangnya pada 2004.

Mohamad yang mewakili Barisan Nasional (BN) adalah dalam kalangan 16 Adun BN dalam DUN itu manakala PH diwakili oleh 20 Adun.