Hannah Yeoh bantah cadangan menteri ‘kecilkan’ projek Taman Rimba Kiara

Khalid Samad sebelum ini dilaporkan berkata, pemaju projek pembangunan Taman Rimba Kiara bersetuju mengurangkan keluasan projek itu daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar.

PETALING JAYA: Seorang timbalan menteri membantah “penyelesaian tolak ansur” yang dicadangkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad terhadap projek pembangunan Taman Rimba Kiara yang menyebabkan penduduk setempat berang.

Hannah Yeoh, ahli Parlimen Segambut yang juga timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, berkata cadangan mengecilkan projek kontroversi itu yang membabitkan kawasan hijau di Kuala Lumpur tidak banyak berbeza daripada projek asal yang diluluskan bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Perbezaan antara legasi Tengku Adnan dalam Taman Rimba Kiara dan penyelesaian dicadangkan Khalid Samad sangat kecil dan ini tidak cukup baik bagi saya, penduduk rumah panjang dan pengguna Taman Rimba Kiara,” kata pemimpin DAP itu.

Baru-baru ini, Khalid dilaporkan berkata, pemaju projek itu bersetuju mengurangkan saiz dan jumlah blok pangsapuri, dengan keluasan projek itu dikecilkan daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar.

Katanya, sebuah blok pangsapuri yang terdiri daripada 350 unit bagi kegunaan penduduk rumah panjang Bukit Kiara dikekalkan dalam projek itu.

Langkah itu tidak mendapat sokongan Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI), antara pihak yang lantang membantah projek itu.

Yeoh berkata, rancangan baru itu memisahkan penduduk pangsapuri mewah dengan penduduk asal rumah panjang.

“Kenapa pindah mereka mereka ke satu sudut kecil, mewujudkan halangan besar antara mereka yang mampu membeli kondo dan mereka yang tidak berkemampuan? Saya mahu penduduk rumah panjang dilayan lebih baik daripada ini,” tulisnya di Facebook.

“Bagi setiap kondo dan rumah mampu milik di Lembah Klang, semua tanah sekeliling biasanya digunakan untuk tempat letak kenderaan penduduk dan pelawat.”

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara akan menyaksikan pembinaan satu blok pangsapuri mampu milik sebanyak 350 unit yang akan menempatkan penduduk asal rumah panjang, serta 8 blok kondominium mewah setinggi 50 tingkat dengan nilai pembangunan kasar sekurang-kurangnya RM3 bilion.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meluluskan projek itu pada Julai 2017, walaupun terdapat bantahan daripada ramai penduduk sekeliling.

Projek itu yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, ialah usaha sama antara Yayasan Wilayah Persekutuan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Memang Perkasa Sdn Bhd, anak syarikat Malton Bhd.