Peguam Arun didapati bersalah hina mahkamah dalam 2 artikelnya

Peguam, Arunachalam Kasi.

PUTRAJAYA: Peguam, Arunachalam Kasi yang lebih dikenali sebagai Arun Kasi, yang menulis 2 artikel mengkritik penghakiman sebuah mahkamah Februari lalu, didapati bersalah menghina mahkamah.

Ramly Ali yang mengetuai panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan berkata, Peguam Negara, Tommy Thomas sudah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Arun.

“Kami berpandangan, atas penilaian objektif, kenyataannya menghina mahkamah dan menjejaskan badan kehakiman,” kata Ramly ketika menyampaikan penghakiman itu hari ini.

Panel itu belum menjatuhkan hukuman terhadap Arun sementara menunggu hujah pengurangan hukuman dikemukakan peguamnya.

Katanya, artikel Arun yang disiarkan di laman web hal ehwal semasa Aliran menyasarkan badan kehakiman.

Pada 28 Mac lalu, Thomas berhujah Arun jelas merujuk 3 hakim Mahkamah Persekutuan apabila beliau menulis 2 artikel bertajuk “How a dissenting judgment sparked a major judicial crisis” pada 16 Februari dan “Tommy Thomas must look into arbitration centre that sparked judicial crisis” pada 22 Februari lalu.

Artikel itu berkaitan afidavit terkenal oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Hamid Abu Backer yang memperincikan dakwaan salah laku badan kehakiman.

Thomas yang mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Arun, berkata peguam itu berulang kali merujuk “mahkamah” dalam menegaskan 5 anomali yang dikatakan dilakukan panel mahkamah tertinggi itu pada 7 November lalu.

Tommy berkata, dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Arun menyindir hakim terbabit adalah korup.