Penumpang AirAsia kongsi kisah bayi hembus nafas terakhir dalam dakapannya

Ambulan sedia menunggu di Perth sebaik pesawat AirAsia mendarat di Perth. (Gambar ABC News Australia)

Seorang wanita dari Perth, Nadia Parenzee yang memangku bayi berusia 2 bulan saat dia menghembuskan nafas terakhirnya dalam pesawat AirAsia menyifatkan insiden itu sebagai “situasi yang paling sukar dihadapi”.

Nadia yang menaiki penerbangan AirAsia D7236 dari Kuala Lumpur ke Perth awal pagi Isnin menawarkan bantuan kepada pasangan ibu bapa kepada bayi yang dikatakan kelihatan sangat gelisah dan tak berhenti menangis sejak awal penerbangan berlepas.

“Saya dapat melihat mereka (ibu bapa bayi) agak tertekan. Bayi itu asyik menangis, tetapi kemudian saya dapat melihat pramugari itu memberi botol susu kepada bayi. Jadi saya fikir ok, mungkin dia hanya lapar,“ kata beliau.

Sekitar 10 minit kemudian, Nadia yang juga bekas jururawat dikejutkan pramugari AirAsia yang menyapa bahunya dengan cemas untuk meminta bantuan.

Nadia Parenzee bekas jururawat yang cuba memberi bantuan kecemasan kepada bayi 2 bulan. (Gambar ABC News Australia)

Pasangan tersebut kemudiannya menyerahkan bayi mereka kepada Nadia dengan wajah yang terdesak dengan harapan Nadia dapat melakukan sesuatu.

“Namun secara tiba-tiba, bayi tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir dan tidak bergerak.

“Saya terus merasakan ada sesuatu yang tak kena dan berteriak kepada penumpang sama ada terdapat doktor yang boleh menyelamatkannya,” katanya lagi.

Nadia berkata pelbagai usaha dilakukan dalam tempoh 2 jam 1/2 itu untuk menyelamatkan bayi berkenaan.

Kereta sorong bayi yang meninggal dibawa turun dari pesawat. (Gambar ABC News Australia)

Menurut ABC News, beliau juga ada meminta juruterbang untuk membuat pendaratan kecemasan, namun mereka perlukan masa untuk mendapatkan isyarat untuk mendarat dengan selamat.

Setelah berbincang, mereka akhirnya meneruskan penerbangan ke Perth di mana pasukan kecemasan akan bersedia untuk menyambut mereka serta-merta tetapi usaha tersebut gagal kerana bayi tersebut telah meninggal dunia.

Menurut Nadia, suasana kecoh pada awalnya bertukar sugul dan semua penumpang serta krew penerbangan memberikan kerjasama yang amat profesional.

Difahamkan pasangan tersebut adalah dari Arab Saudi dan baru berpindah ke Australia untuk memulakan hidup baru dan ayah bayi tersebut sedang melanjutkan PhD di Australia.

Bayi perempuan berusia 2 bulan tersebut juga adalah anak sulung kepada pasangan tersebut.

Menurut ibu bapa bayi itu dibawa berjumpa doktor seminggu lalu untuk merawat demam.

Sumber: The Guardian, ABC News

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]