Permohonan pindah kes rasuah Rosmah ditetapkan 2 Mei

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 2 Mei untuk mendengar permohonan pendakwaan bagi memindahkan kes rasuah yang dihadapi Rosmah Mansor ke mahkamah sama dengan kes rasuah bekas pegawai khas Najib Razak, Rizal Mansor, untuk dibicarakan bersama.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu berkata, permohonan pendakwaan adalah untuk membawa kes yang dihadapi Rosmah, 67, ke depan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

“Permohonan itu dibuat di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah semasa sebutan semula kes hari ini dan akan didengar olehnya.

“Pemindahan itu dibuat berikutan kes membabitkan Rizal ada di situ (Hakim Mohamed Zaini). Oleh itu pada tarikh akan datang kami (pendakwaan) akan buat permohonan pemindahan kes. Jadi pada 2 Mei kedua-dua pihak akan berhujah berhubung permohonan itu depan Hakim Collin,” kata Mohd Dusuki.

Pada prosiding hari ini, Rosmah diwakili peguam Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh.

Pada 15 Nov lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 2 pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187,500,000 dan menerima rasuah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak 2 tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.