Saksi: Saya terima arahan jangan teruskan siasatan kes Wang Kelian

PUTRAJAYA: Seorang saksi di pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja berkata ketua polis daerah Padang Besar mengarahkan siasatan berhubung penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, Perlis tidak diteruskan selepas penemuan mayat.

Junaidi Md Saad, kini ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang, Kedah berkata Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padang Besar menerima arahan itu pada 8 Mac 2015.

“Saya terima arahan daripada ketua polis Padang Besar di mana siasatan untuk kes ini tidak diteruskan dan tunggu arahan selanjutnya,” katanya.

Junaidi adalah saksi ke-11 di pendengaran awam di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya yang memasuki hari ke-4 hari ini.

Seramai 10 saksi dijangka dipanggil hari ini bagi memberi keterangan kepada panel 7 anggota yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria dan timbalannya, bekas ketua polis negara, Norian Mai.

Pada 18 Mac lalu, Kompeni Komandan B Batalion 3 Pasukan Gerakan Am, M Joeking memberitahu RCI bahawa pihaknya ternampak binaan seakan kubur ketika sedang memusnahkan kem penyeludup di Wang Kelian pada 21 Januari 2015.

Junaidi hari ini berkata pihaknya tidak dilarang memeriksa binaan itu pada Januari hingga Mac 2015.

Menurutnya, dia bersama ketua polis Padang Besar, pasukan forensik dari Kontinjen Perlis dan Cawangan Khas pergi ke kem penyeludup pada 6 Mac 2015 dan melakukan penggalian.

“Misi hari tersebut menggali 1 struktur tanah yang serupa kubur, nak sahkan sama ada terdapat mayat atau tidak,” katanya.

Mereka menemui lebih 30 kubur di Bukit Wang Burma ketika itu.

“Satu kubur digali dan menjumpai mayat, tetapi tidak dibawa ke hospital dan menimbus balik. Baki kubur ditemui tidak digali dan hanya ditanda polis,” katanya.

Junaidi berkata selepas itu siasatan diambil alih Bukit Aman pada Mei 2015.

Ditanya kenapa tiada tindakan lain diambil pihaknya antara Januari hingga Mac 2015, Junaidi berkata dia tidak berani kerana tidak pernah berdepan kes seperti itu sebelum ini.

Beliau berpandangan kejadian di Wang Kelian itu berskala besar, memerlukan pasukan yang besar, dan pasti menarik perhatian.

“Saya tak berani ambil apa-apa tindakan sewenang-wenangnya. Segala yang saya buat berdasarkan arahan diberi,” katanya.

Sementara itu, Rizani yang kini merupakan penolong pengarah D6 Bahagian Bantuan Teknikal, Bukit Aman berkata beliau hanya bertindak atas arahan yang diberikan daripada Bukit Aman.

Beliau yang merupakan saksi ke-12 berkata demikian ketika diminta mengesahkan kenyataan Junaidi berhubung arahan siasatan berhubung penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, Perlis tidak diteruskan selepas penemuan mayat.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.