Saya tak tahu, kata pegawai pengendali mengenai laporan polis dibuat pakar forensik

Hamdan Hamzah meminta wartawan bertanya kepada 2 pakar forensik yang membuat laporan polis berhubung ugutan dan cubaan mempengaruhi penilaian mereka oleh seorang saksi dalam kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

SHAH ALAM: Pegawai pengendali dalam inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak tahu 2 saksi yang juga pakar forensik, membuat laporan polis mengenai cubaan yang didakwa mempengaruhi mereka.

Timbalan pendakwa raya, Hamdan Hamzah berkata, beliau hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media.

“Saya tak tahu. Saya cuma tahu melalui laporan media hari ini. Lebih baik tanya mereka yang terlibat,” katanya kepada wartawan di luar Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.

Hamdan ditanya mengenai laporan polis dibuat 2 pakar forensik yang memberi keterangan dalam inkues menentukan punca kematian Adib.

Laporan 2 pakar dari Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur itu dibuat di Balai Polis Subang Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 189 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengugut penjawat awam.

Bagaimanapun, katanya, polis tidak dapat menyiasat kes itu sekarang kerana inkues masih berjalan.

Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.

Dalam prosiding semalam, pegawai pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin menggesa panel inkues memanggil semula pakar forensik, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menjalankan bedah siasat ke atas Adib.

Hafizam dan Dr Mohd Shah Mahmood sebelum ini memberitahu inkues, Adib mungkin keluar dari van EMRS ketika rusuhan berlaku dan kecederaan dialaminya bukan berpunca daripada serangan.