3 lagi direman dalam kes lindungi pemandu lori

Tiga lelaki ini direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di sekitar Pulau Pinang. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan 2 lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) direman 7 hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung kegiatan rasuah bagi melindungi kesalahan pemandu lori di Pulau Pinang.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, L Umma Devi bermula hari ini hingga Selasa depan, selepas membenarkan permohonan SPRM.

Tiga lelaki berumur 32 hingga 48 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan dipercayai menerima bayaran RM10,000 sebulan yang sehingga kini jumlah terkumpul bagi semua wang rasuah itu melebihi RM140,000.

Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini ketika memberi keterangan pada 11 pagi semalam.

Penahanan reman 3 lelaki itu ialah siri ke-3 selepas 46 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dipanggil untuk memberi keterangan bagi siasatan kes sama sejak minggu lalu.

Ahad lalu, 5 penguat kuasa dan pegawai JPJ direman 7 hari bagi membantu siasatan kes itu dan pada 17 April lalu, 24 penguat kuasa JPJ juga direman bagi membantu siasatan kes sama.