Bekas KPN arah saya ‘hold on’, saksi beritahu RCI Wang Kelian

Zul Aznam Haron (tengah) ialah saksi ke-16 yang memberi keterangan kepada pendengaran awam RCI Wang Kelian, hari ini.

PUTRAJAYA: Bekas ketua polis Perlis, Zul Aznam Haron berkata beliau diminta menunggu dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut, selepas memaklumkan penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian kepada ketua polis negara 4 tahun lalu.

Katanya, arahan itu diberikan Khalid Abu Bakar ketika beliau menghubunginya pada 20 Januari 2015, selepas mendapat maklumat mengenai penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur beramai-ramai itu.

“Perkataan yang tepat dia kata ialah ‘hold on’.

“Perkara ini memerlukan persediaan dan penelitian sebab kes ini mempunyai impak besar kepada negara dan melibatkan warganegara asing,” katanya kepada inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas penemuan kubur dan kem pemerdagangan manusia yang memasuki hari ke-5 hari ini.

Saksi ke-16 itu berkata, pihaknya mengambil tindakan awal dengan mengerahkan pasukan elit komando 69 ke kawasan itu, selepas mengesan kewujudan kem pemerdagangan manusia dan kubur beramai-ramai terbabit.

“Sebelum operasi sebenar berlaku, kena pergi tinjau untuk buat persediaan dan masuk secara senyap, bukan boleh masuk terus dan bukan secara ramai-ramai.”

Sementara itu, Zul Aznam menegur seorang ahli panel RCI itu, Razali Ismail yang mempertikaikan profesionalisme polis kerana tidak memahami tugas pasukan keselamatan itu.

“Bila orang sentuh tentang profesionalisme polis, saya rasa nak cakap sikit. Saya sebagai pesara polis, saya faham bagaimana polis kerja.

“Mungkin Tan Sri tak faham. Pada saya, serahkan kepada polis. Kita tahu apa kita buat. Apabila kamu komen tentang tugas polis, tak tepat.”

Zul Aznam merupakan ketua polis Perlis dari 2011 hingga Mei 2015 dan kini ialah pengarah keselamatan di Universiti Malaysia Perlis.

Razali meletak jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia pada 15 April lalu.