Bekas TK polis Perlis nafi arah musnah kem Wang Kelian untuk hapus bukti

Bekas timbalan ketua polis Perlis, Md Zukir Md Isa yang juga saksi ke-13 sesi pendengaran awam RCI penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur beramai-ramai Wang Kelian.

PUTRAJAYA: Bekas timbalan ketua polis Perlis, Md Zukir Md Isa menafikan beliau mengeluarkan arahan supaya kem penyeludupan manusia yang ditemui di Wang Kelian, Perlis dimusnahkan bagi menghapuskan bahan bukti.

Zukir yang kini sudah bersara, berkata tujuan arahan itu dikeluarkan agar kem penyeludupan itu tidak digunakan pada masa akan datang oleh pendatang asing tanpa izin yang lain.

“Arahan memusnahkan kem itu bukan secara keseluruhan tetapi hanya bahagian tertentu.

“Saya tak bermaksud nak hapuskan bukti. Saya hanya suruh hapuskan seperti kanvas bahagian pelindung atas atau tempat bekalan air agar kem itu tidak digunakan semula. Saya kena keluarkan arahan, kalau tak musnahkan ketika itu, saya juga akan dipersoal,” katanya.

Zukir adalah saksi ke-13 pendengaran awam dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur di Wang Kelian, yang memasuki hari ke-5 hari ini.

Pada 18 April lalu, Komandan Kompeni Batalion B PGA Briged Utara, M Joeking yang merupakan saksi ke-5 RCI itu, berkata arahan pemusnahan itu dikeluarkan oleh Zukir dalam satu mesyuarat 3 hari sebelum operasi pemusnahan dijalankan.

Joeking berkata sebelum keputusan dibuat, terdapat perbincangan lain dilakukan Zukir tanpa kehadirannya.

Sebelum ini, media melaporkan tindakan pemusnahan kem pemerdagangan manusia itu 3 hari selepas ia ditemui berkemungkinan bagi menghilangkan bukti yang boleh membantu siasatan pihak berkuasa.

Menjawab dakwaan itu, Zukir berkata arahan memusnahkan kem itu dibuat pada 20 Januari 2015 dalam satu mesyuarat yang turut dihadiri Joeking.

Zukir bagaimanapun menegaskan arahan pertama yang dibuat sepatutnya memeriksa penemuan struktur tanah berbentuk kubur yang dijumpai berhampiran kem tersebut.

“Saya suruh periksa struktur kubur dan baru musnahkan kem (penyeludupan manusia). Saya tak tahu kem itu sudah lama, sebab tak pernah pergi lihat dan hanya lihat melalui gambar yang ditunjuk oleh Joeking,” katannya.

Zukir berkata semasa dan selepas pemusnahan kem itu dan pemeriksaan kubur juga tidak dimaklumkan kepadanya.

Katanya, kali terakhir beliau mendapat maklumat ketika dalam satu menyuarat polis iaitu 3 hari sebelum operasi pemusnahan kem penyeludupan manusia itu dilakukan.

“Saya rasa dia iaitu Jeoking tak jalankan siasatan sebetulnya,” katanya.

Zukir juga akui pada awal proses siasatan kes itu tidak ada koordinasi antara polis.

Beliau berkata pihak Bukit Aman mempunyai alasan tertentu kenapa tidak disegerakan dalam siasatan kes itu.

“Mungkin Bukit Aman ada pertimbangan lain, cuma saya tak tahu seingatan saya.

“Apa yang saya masih ingat ketika sidang media bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar, ketika ditanya kenapa tindakan lambat oleh polis, Khalid berkata ‘kita perlukan masa untuk periksa kawasan itu’,” katanya.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.