Bermegah bukan kesalahan pilihan raya, kata Bersih mengenai 49 projek di Sandakan

Kerajaan persekutuan mengumumkan 49 projek pembangunan di Sandakan sepanjang tahun ini, termasuk Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anip yang dianggarkan bernilai RM40 juta dan kemudahan jaringan pengangkutan untuk merancakkan ekonomi setempat.

PETALING JAYA: Kumpulan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 berkata, pengumuman Putrajaya meluluskan 49 projek pembangunan bernilai RM2.28 bilion di Sandakan, menjelang pilihan raya kecil di kerusi Parlimen itu bukan satu kesalahan pilihan raya.

“Selepas melihat kenyataan media penuh di laman web Kementerian Kewangan, kami sedar projek ini sebahagian daripada apa yang sudah diperuntukkan di bawah Bajet 2019 dan bukan peruntukan baru yang dilakukan secara ad hoc.

“Apa yang beliau (Menteri Kewangan, Lim Guan Eng) lakukan ialah mengingatkan pengundi Sandakan mengenai kebaikan yang kerajaan Pakatan Harapan lakukan, dalam erti kata lain, bermegah mengenai pencapaiannya,” kata Pengerusi Bersih, Thomas Fann kepada FMT.

“Bermegah bukan satu kesalahan pilihan raya.”

Semalam, Lim berkata, 49 projek yang diluluskan kerajaan persekutuan itu akan memanfaatkan hampir 400,000 penduduk di kawasan Parlimen Sandakan, Batu Sapi dan Libaran.

Katanya, Putrajaya menyediakan RM183 juta untuk membiayai 49 projek itu bernilai RM2.28 bilion yang sedang dan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Ia termasuk Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anip dianggarkan bernilai RM40 juta dan pembesaran Lapangan Terbang Sandakan membabitkan pemanjangan landasan yang bernilai RM80 juta.

Projek lain berkaitan industri berasaskan minyak dan kelapa sawit serta kemudahan jaringan pengangkutan untuk merancakkan ekonomi setempat.

Pengumuman Lim itu menyebabkan pemimpin pembangkang, termasuk Najib Razak dan Presiden MCA, Wee Ka Siong menggesa Bersih serta Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menyatakan jika ia adalah satu kesalahan pilihan raya.

Fann berkata, tiada pelanggaran undang-undang, walaupun masa Lim membuat kenyataan media itu dan fokus terhadap Sandakan “menunjukkan usaha meraih undi”.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan itu yang dikeluarkan secara rasmi oleh Kementerian Kewangan.

“Bukankah itu dianggap satu penyalahgunaan sumber negara untuk tujuan parti?” soalnya.

“Tiada pelanggaran undang-undang, tetapi saya biar rakyat mengadilinya jika tindakan sedemikian boleh diterima.”

PRK Sandakan akan diadakan 11 Mei ini dengan penamaan calon pada Sabtu ini dan pengundian awal pada 7 Mei nanti, susulan kematian Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong pada 28 Mac lalu.