Program matrikulasi: Kabinet tambah 15,000 tempat, kuota Bumi kekal 90%

PETALING JAYA: Jemaah menteri membuat keputusan untuk menambah bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan daripada 25,000 tempat kepada 40,000 tempat, tetapi mengekalkan kuota 90% untuk pelajar Bumiputera, kata Menteri Maszlee Malik hari ini.

Perkembangan ini menyusuli gesaan beberapa pihak yang mahu kerajaan mengkaji semula dasar itu atau membuka lebih banyak tempat dalam program matrikulasi kerajaan kepada pelajar bukan Bumiputera.

Maszlee berkata kerajaan melihat wujud keperluan untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang ada pada program matrikulasi itu wajar dimaksimumkan untuk tujuan itu.

“Keputusan ini juga dilihat sebagai kaedah terbaik dalam memastikan program matrikulasi kementerian dapat memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kuota 90% untuk pelajar Bumiputera dan 10% untuk pelajar bukan Bumiputera dikekalkan, “selaras dengan visi asal program matrikulasi” iaitu mengalakkan pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

“Berkaitan dengan kos berikutan pertambahan jumlah pelajar ini, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.

“Jemaah menteri juga meminta kementerian menilai pendekatan strategik yang bersesuaian termasuk menggunakan premis dan kepakaran di Institut Pendidikan Guru bagi menampung pertambahan ini,” katanya.

Pada Jumaat, kementerian mengumumkan dasar pengambilan program matrikulasi bagi 2019 memperuntukkan 60% tempat kepada golongan berpendapatan rendah (B40), selaras dengan hasrat memperkasa golongan itu.

Manakala 40% tempat diperuntukkan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan golongan berpendapatan tinggi (T20).