Anak muda buka kem istirehat jana RM15,000 sebulan

Diberi nama Bamboo Camp kerana kawasannya yang dipenuhi pokok buluh suatu ketika dulu, lokasi ini juga menjadi ‘check point’ sebelum mendaki ke Gunung Nuang.

Setiap orang mempunyai persepsi tersendiri tentang makan gaji atau berniaga sendiri.

Terpulang kepada pilihan masing-masing, sama ada mahu menerima pendapatan stabil dengan makan gaji ataupun menjadi majikan yang berdepan pelbagai risiko.

Jika nekad menjadi usahawan, mereka perlu merancang strategi untuk menempuh cabaran berbeza mengikut peredaran zaman demi survival dalam dunia perniagaan serba mencabar.

Nur Atiqah, 28 tahun mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan membuat bisnes sendiri

Bagi Nur Atiqah Abdul Karim, beliau mengambil keputusan berhenti makan gaji disebabkan tekanan bekerja di bawah majikan.

Anak muda berusia 28 tahun itu mula menjinakkan diri dalam bidang perniagaan dengan membina satu kawasan istirehat di Hulu Langat yang dinamakan “Bamboo Camp”, 3 tahun selepas meletak jawatan sebagai pentadbir awam di sebuah syarikat.

Keputusan Atiqah itu terbukti betul kerana beliau boleh meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan hidupnya lebih gembira apabila tidak lagi tertekan dengan pihak atasan.

Pondok yang disediakan untuk pengunjung dengan kadar sewaan RM30 sehari.

“Saya tak suka kerja yang ‘stress’, jadi saya buat satu benda yang bagi orang luar pun ‘happy’ dan ada pendapatan masuk untuk saya serta keluarga.

“Jadi, saya bina satu lokasi yang orang boleh datang lepak dan santai sebab rumah saya pun tepi sungai,” katanya kepada FMT.

Atiqah menyediakan tempat berkelah yang dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk tempat barbeku, surau, tandas, pondok dan chalet untuk pelanggan beristirehat bersama rakan dan keluarga.

Chalet di bahagian atas dengan rekaan seperti rumah zaman dahulu, diberi gelaran rumah P Ramlee.

“Siapa kata mudah, tapi saya buat dengan bantuan adik-beradik untuk membina itu dan ini, daripada 5 chalet dan 10 pondok, semua dibina sendiri menggunakan kayu yang dikutip sendiri.

“Sekarang, alhamdulillah ada 14 chalet dan 17 pondok, saya yang uruskan sendiri sekarang ini dari segi promosi, pengurusan mahupun kebersihan.

“Kalau nak makan pun saya masak untuk mereka, hanya bayar dan saya akan sediakan semuanya…mereka ‘happy’, saya pun okey.”

Mempunyai keluasan 1/2 ekar, Bamboo Camp ini mampu memuatkan lebih 1000 orang dalam satu masa.

Beliau berkata, tempatnya kini menjadi tumpuan orang ramai, terutamanya pada hujung minggu.

“Dalam sebulan, kebiasaannya mencecah RM15,000 bergantung kepada majlis yang mereka buat. Ada yang buat kenduri kahwin, segalanya saya sediakan yang terbaik untuk mereka.

“Bila dah dapat RM15,000 dalam tangan, kenapa nak kejar lagi kerja di bawah majikan yang hanya memperoleh rata-ratanya RM2,500 ke RM3,000?” soalnya sambil menekankan kepentingan dalam memastikan pengurusan perniagaan secara betul.

Diberi nama Bamboo Camp kerana kawasannya yang dipenuhi pokok buluh suatu ketika dulu.

Mengimbau cabaran dihadapinya, Atiqah berkata, peringkat permulaan agak “perit” kerana modalnya terhad.

Tetapi, beliau bersyukur kini pulangan yang diraihnya berlipat ganda.

“Nak cari duit jangan ‘stress’, cuma kadangkala kita perlu berfikir di luar kotak.

Antara aktiviti yang disediakan di Bamboo Camp Hulu Langat iaitu hari keluarga.
Turut dianjurkan riadah berbasikal bagi syarikat yang ingin mengadakan “team building”.
Pengunjung boleh mandi air sungai dan bermalam di chalet yang disediakan.
Ini adalah salah satu chalet yang dibina di tepi sungai bagi mereka yang inginkan suasana alam semulajadi dan apabila malam pasti akan merasai sendiri kesejukan hutan secara semulajadi.
Bagi menjimatkan kos, semua chalet yang dibina adalah menggunakan kayu kayan yang dikutip sendiri oleh Nur Atiqah dengan bantuan abangnya di seberang sungai.

“Bekerja sendiri ini ibarat kita duduk dalam dunia sendiri, jadi kita tahu tahap kita di mana.”

Bamboo Camp terletak berdekatan Lembah Pangsun di Hulu Langat dan menawarkan pakej serendah RM25 bagi pondok dan RM50 bagi chalet untuk seorang.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]