Anjing pemandu arah, antara hak asasi OKU dan persepsi umum

Menjelang 2020, genap sedekad Malaysia meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Golongan Kurang Upaya (OKU) sejak 2010. Walaupun pelbagai usaha dilaksanakan untuk memperkasakan golongan OKU, pencapaiannya belum boleh dibanggakan.

Mungkin antara faktor kegagalan itu berpunca daripada persepsi negatif golongan ini hanyalah penerima bantuan kebajikan semata-mata, tidak boleh berdikari tanpa bantuan orang dan paling mendukacitakan apabila tiada tindakan tegas pihak berwajib dalam memastikan aspek aksesibiliti fizikal OKU di bangunan, tempat awam dan kemudahan awam untuk menepati ciri mesra OKU.

Aspek aksesibiliti fizikal dan mobiliti OKU merupakan elemen penting untuk memastikan penyertaan penuh golongan ini sebagai ahli masyarakat yang berdaya saing demi memastikan mereka mengecapi kehidupan lebih berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Selain itu, sebarang halangan aksesibiliti yang tidak dihapuskan akan menjadi faktor penghalang untuk OKU menikmati hak dan peluang saksama, baik dari segi ekonomi, pendidikan, rawatan kesihatan, sosio budaya, sivil dan politik.

Begitulah asas pandangan hak asasi OKU, khususnya orang buta yang menggunakan khidmat anjing pemandu arah dalam membantu urusan harian kehidupan mereka.

Lazimnya di Malaysia, orang buta akan berjalan berseorangan menggunakan tongkat, peneman peribadi atau secara berkumpulan.

Amat sukar melihat orang buta berjalan menggunakan khidmat anjing pemandu arah seperti di luar negara kerana negara seperti Singapura, United Kingdom dan Australia menyediakan undang-undang dan dasar yang mesra penggunaan anjing pemandu arah oleh orang buta, khususnya di tempat awam bagi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan berdikari.

Sudah pasti menjadi pengalaman berharga sekiranya berpeluang melihat orang buta berjalan bersama anjing pemandu arah di Malaysia.

Isu penggunaan anjing pemandu arah oleh orang buta mendapat perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, apabila terdapat aduan mengenai seorang orang buta yang mendakwa terdapat halangan aksesibiliti menggunakan anjing pemandu arah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2016.

Kajian dijalankan bersama pihak berkepentingan, termasuk Malaysia Airports Holding Berhad, Agensi Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM) untuk mendapat maklum balas serta merangka syor kepada pihak terlibat.

Berdasarkan kajian itu, anjing pemandu arah didapati mempunyai watak amat berbeza dengan anjing peliharaan biasa.

Anjing pemandu arah ini amat terlatih, sangat patuh kepada arahan pemiliknya, tidak berkeliaran dan duduk senyap, ia dilatih ke tandas atas arahan, tidak membuang najis di tempat awam serta akan dipakaikan jaket khas semasa menjalankan tugas sebagai anjing pemandu arah.

Semestinya latihan berskala tinggi perlu dilalui seekor anjing pemandu arah sebelum ditugaskan untuk berkhidmat kepada orang buta.

Dalam Islam, sudah jelas hukum dan kedudukan anjing, iaitu haram untuk umatnya memelihara dan menyentuh anjing tanpa sebarang sebab munasabah.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian, antaranya untuk tujuan berburu, menjaga haiwan ternakan dan tanaman, sebagai anjing pengesan dan keselamatan kepada pihak berkuasa serta untuk kegunaan orang buta yang menjadikan anjing sebagai pemandu arah.

Lebih menarik lagi, pejabat mufti Majlis Agama Singapura menjelaskan secara terperinci kedudukan penggunaan anjing pemandu arah oleh orang buta. Selain itu, Islam turut menggalakkan masyarakat berlaku baik sesama insan, termasuk mereka yang memerlukan anjing pemandu arah.

Sebagai rakyat Malaysia, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesaksamaan dan melindungi kebebasan asasi setiap warganegara, termasuk golongan OKU. Usaha mendidik masyarakat untuk menghormati hak asasi orang buta juga selaras tuntutan agama Islam.

Sewajarnya, tiada halangan kepada kerajaan untuk mengorak langkah ke arah mengkaji semula undang-undang dan dasar sedia ada, termasuk Akta Orang Kurang Upaya agar lebih mesra kepada orang buta yang menggunakan khidmat anjing pemandu arah di Malaysia, dengan memastikan peraturan dipatuhi supaya tiada kemudaratan kepada pemilik, anjing pemandu arah dan juga orang di sekeliling.

Sudah tiba masanya untuk kita menunjukkan sikap belas ihsan sesama manusia, terhadap haiwan dan menghormati hak asasi OKU.

Selain dapat mendidik masyarakat lebih menghormati hak asasi OKU, ia turut membantu mengubah pandangan masyarakat yang anjing bukanlah haiwan menakutkan, tetapi haiwan yang sangat setia berkhidmat kepada orang buta agar dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih berdikari.

Siti Zaihan Zulkarnain ialah penolong setiausaha Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.