Berbilion untuk Sandakan, tapi Sarawak tiada, ahli Parlimen bidas Putrajaya

KUCHING: Seorang wakil rakyat Sarawak mendakwa Putrajaya mengabaikan pembangunan di negeri itu, susulan kelulusan diberikan kerajaan persekutuan bagi 49 projek di Sandakan, Sabah, yang bernilai RM2.28 bilion.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri berkata orang Sabah mempunyai hak terhadap dana kerajaan persekutuan, tetapi Sarawak yang merupakan pengeluar minyak terbesar di negara ini turut berhak mendapat bahagiannya.

“Akhir-akhir ini, orang Sarawak merasakan mereka diabaikan dari segi pembangunan infrastruktur,” katanya kepada FMT.

“Apabila Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14, ia berjanji melayan semua negeri secara adil. Ia tahu Sarawak sudah menyumbang begitu banyak kepada pendapatan negara, tetapi kami masih perlu merayu untuk mendapatkan wang kami sendiri.”

Tahun lalu, Putrajaya menangguhkan pembinaan jambatan di Igan, Rambungan dan Batang Lupar di Sarawak atas alasan kekangan kewangan. Jambatan Batang Lupar dilaporkan akan diambil alih kerajaan negeri.

Projek lain yang lebih kecil di Sarawak, bernilai RM20,000 hingga RM30,000 juga dikatakan dibatalkan.

Nancy berkata, PH menerusi manifestonya berjanji membelanjakan 50% dana pembangunan ke atas negeri miskin, “iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah, yang baru-baru ini termasuk dalam senarai itu”.

“Saya terus memantau untuk melihat bagaimana dan bila kerajaan persekutuan akan melaksanakannya.”

Katanya, pembangunan di Sarawak meningkat dari 2008 hingga 2013, sebelum PRU14.

“Itu sebabnya semasa kempen PRU14, ia mudah bagi kami, kecuali bagi mereka yang berdepan cabaran politik dalaman.

“Projek berterusan dan mudah untuk meyakinkan rakyat terhadap keikhlasan kerajaan persekutuan ketika itu.”