Hentam kerajaan sekuat anda mahu, kata Anwar

Anwar Ibrahim memberi penghargaan kepada rakyat yang mencetuskan idea perubahan dan reformasi melalui media sosial.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini menyokong rakyat mengkritik kerajaan “sekuat yang anda mahu”.

Beliau berkata rakyat, yang ada kebijaksanaan dan keyakinan untuk memilih kerajaan baru, perlu terus memainkan peranan memantau ahli-ahli politik Pakatan Harapan supaya sentiasa berada di jalan yang betul.

“Kita tak mahu dengar kenyataan-kenyataan angkuh yang kita kadang-kadang dengar sebelum ini.

“Anda ada segala kebebasan dalam talian untuk menghentam mereka sekuat yang anda mahu,” katanya dalam ucapan penutup di majlis Minggu Media Sosial Malaysia 2019 hari ini.

Anwar berkata rakyat menuntut perubahan dan menetang banyak perkara yang bertentangan dengan aspirasi rakyat.

“Anda mahu perubahan. Gaya hidup yang menunjuk-nunjuk, pembaziran sumber awam; menjolikan kemewahan untuk perkaya keluarga dan kroni. Semua itu anda lawan.

“Kami komited untuk tunaikan janji itu. Jadi, marilah kita bersikap positif. Sudah 11 bulan dan saya tetap positif. Marilah doa kita berjaya.

“Kami sambut sokongan anda terhadap dasar-dasar kami yang positif dan kritikan anda apabila kami lembap atau tersimpang daripada apa yang kami janjikan,” katanya.

Anwar berkata ada pihak suarakan kebimbangan mengenai impak negatif media sosial, di mana sesetengah orang menonjolkan isu-isu tertentu secara melampau.

“Kerajaan cenderung bertindak melampau dengan memperkenalkan undang-undang yang mengehadkan (pandangan). Saya percaya ini bukan strategi yang betul.

“Sudah tentu, anda mesti ada peruntukan dan undang-undang tertentu untuk memastikan media sosial tidak digunakan untuk menimbulkan kebencian dan keganasan,” katanya.

Anwar berkata ahli politik harus takut jika “dia rasuah atau anda sengaja mahu menyebabkan bahaya, menyebarkan kebencian, atau terorisme.”

“Kalau bukan, rakyat harus diberi peluang dan ruang untuk mengkritik. Jika tidak, kita akan jadi seperti kerajaan lepas,” katanya.

Anwar menonjolkan peranan media sosial yang digunakan untuk menyokong kebangkitan perkauman di Eropah, dan di Amerika Syarikat, golongan konservatif baru memperalatkan agama Kristian untuk menanam kebencian terhadap orang lain.

“Di Malaysia, sentimen demikian makin tumbuh. Perkembangan itu kurang menyenangkan. Tetapi saya sangat yakin kita mampu atasinya.

“Kita harus punyai keberanian dan keyakinan untuk melawannya. Itu akan menjamin kelangsungan hidup kita.

“Ini bukan perang politik atau kaum, tetapi berperang untuk kelangsungan sebuah negara yang hebat. Rakyat, terutama orang muda, mesti galas tanggungjawab ini,” katanya.