IPTA akan sesak jika bilangan pelajar matrikulasi ditingkatkan, kata MIC

PETALING JAYA: Seorang pemimpin MIC memberi amaran tindakan kerajaan meningkatkan bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan akan menyebabkan kesesakan serius apabila permohonan masuk universiti awam dibuka.

Ahli Jawatankuasa Pusat, Punithan Paramsiven berkata peningkatan 15,000 tempat baru itu tidak mengambil kira penuntut Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma, politeknik dan lain-lain medium.

“Apakah kerajaan akan meningkatkan juga jumlah tempat di universiti juga pada masa akan datang apabila jangkaan permohonan ke institusi pengajian tinggi awam meningkat secara drastik kelak?” katanya dalam kenyataan hari ini

Semalam, jemaah menteri membuat keputusan untuk menambah bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi daripada 25,000 tempat kepada 40,000 tempat, tetapi mengekalkan kuota 90% untuk pelajar Bumiputera.

Punithan Paramsiven.

Perkembangan ini menyusuli gesaan beberapa pihak yang mahu kerajaan mengkaji semula dasar itu atau membuka lebih banyak tempat dalam program matrikulasi kerajaan kepada pelajar bukan Bumiputera.

Punithan berkata langkah kerajaan itu bermakna, 36,000 tempat diperuntukkan kepada Bumiputera manakala 4,000 untuk pelajar bukan Bumiputera, berbanding 22,500 tempat dan 2,500 tempat sebelum ini.

Beliau berkata penambahan hanya 1,500 tempat baru untuk pelajar bukan Bumiputra tidak memperlihatkan dasar keadilan sosial kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang.

Punithan juga khuatir peningkatan ruang dan peluang khas kepada pelajar Bumiputera itu akan menyebabkan pengurangan drastik pelajar Bumiputera yang mengambil STPM.

“Perlu juga diperakui matrikulasi jauh lebih mudah daripada STPM dan berkemungkinan akan wujud 1-2 kaum sahaja yang menduduki STPM,” katanya.