Nasi lemak sebenarnya makanan sihat

Kenapa nasi lemak menjadi makanan sihat dan sesuai untuk semua sehingga diiktiraf antara 10 makanan sihat oleh majalah antarabangsa?

Menurut jurucakap Biro Media Pertubuhan Doktor-Doktor Islam (Perdim), Dr Norzaidi Zakaria, bahan yang digunakan dalam nasi lemak secara umumnya baik untuk kesihatan tubuh.

Katanya, nasi yang diketahui mempunyai “glycaemic index” yang tinggi, namun kadarnya boleh diturunkan apabila dicampur dengan santan.

Katanya, santan pula merupakan asid lemak yang dipanggil “asid laurik” iaitu lemak yang sama jenis dengan susu ibu dan dapat membantu perkembangan otak dan juga menguatkan tulang.

“Lemak dalam santan terdiri daripada asid lemak rantaian sederhana (MCFA). Ia penting dalam membina dan mengekalkan sistem imun tubuh sama seperti lemak dalam susu susu ibu, selain membekalkan sumber ‘nutrisi’ yang sangat baik bagi mereka yang sedang menjalani proses penurunan berat badan,” katanya.

Norzaidi menjelaskan, sambal yang terdapat di dalam nasi lemak yang diperbuat dengan cili api baik untuk menjadi agen penghalang kanser kerana ia mempunyai “antioksida” yang tinggi serta mampu mengaktifkan denyutan jantung dan merangsang peredaran darah dalam badan serta mengeluarkan gas daripada sistem pencernaan.

Sementara itu, kacang tanah pula mengandungi protein yang tinggi, zat besi, vitamin E dan kalsium vitamin B kompleks dan fosforus.

“Kandungan protein dalam kacang tanah adalah jauh lebih tinggi dari daging, telur dan kacang soya. Kacang tanah juga mengandungi asid amino yang tinggi, minyak dari kacang tanah juga adalah sumber terbaik pencuci perut.

“Sementara itu ikan bilis juga merupakan sumber kalsium, kalium, seleium dan vitamin A yang amat diperlukan badan,” katanya.

Norzaidi berkata, kebanyakan orang menganggap memakan telur menyebabkan peningkatan kolestrol tetapi sebenarnya “choline” dan “phosphytidylcholine” dalam telur kuning boleh membantu mengelak longgokan kolestrol dan lemak dalam hati serta pembuluh darah.

“Choline mampu membentuk ‘metabolite’ yang juga dipanggil ‘betaine’ dan berfungsi mengurangkan homocystin iaitu salah satu faktor penyebab serangan jantung,” katanya.

Beliau berkata, timun yang dihidangkan dalam nasi lemak juga membantu untuk menyejukkan badan, malah ketika cuaca panas sayuran itu amat bermanfaat membantu melegakan mata yang tertekan akibat panas terik.

“Potasium yang terdapat dalam timun menjadikannya sangat berguna untuk membantu mengurangkan masalah tekanan darah rendah. Timun juga mengandungi ‘erepsin’ iaitu enzim yang membantu menghadamkan protein,” katanya.

Sehubungan itu, Norzaidi berkata, rakyat negara ini perlu mengesyorkan kepada orang ramai baiknya nasi lemak terutama kepada mereka yang ingin mengamalkan diet yang seimbang dan sihat.

Malah beliau juga menyarankan rakyat menjadikan nasi lemak sebagai santapan harian bersama keluarga dan rutin sarapan harian yang sihat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]