Dakwaan wujud konflik kepentingan demi gagal projek Taman Rimba Kiara, kata menteri

Khalid Samad berkata, beliau tidak mempunyai saham atau kepentingan peribadi terhadap wang yang diperolehi Yayasan Wilayah Persekutuan.

PETALING JAYA: Khalid Samad menafikan wujud konflik kepentingan antara jawatannya sebagai menteri Wilayah Persekutuan dan pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), tetapi dakwaan itu sengaja direka untuk menggagalkan projek pembangunan Taman Rimba Kiara.

“Ketetapan dalam perlembagaan YWP menyebut pengerusinya haruslah menteri Wilayah Persekutuan. YWP merupakan badan yang melakukan kerja-kerja kebajikan dan saya tidak mempunyai saham atau kepentingan peribadi terhadap mana-mana wang diperolehi yayasan.

“Hasil program dan projek diberikan kepada yayasan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau mana-mana sumber, semuanya digunakan untuk kebajikan. Jadi, memang tidak ada isu konflik kepentingan,” katanya sewaktu ditemui pemberita malam tadi.

Sebelum ini, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail yang terjejas akibat projek pembangunan Taman Rimba Kiara mendakwa wujud konflik kepentingan membabitkan Khalid kerana beliau ialah menteri Wilayah Persekutuan dan pengerusi YWP.

Pengerusi persatuan penduduk itu, Abdul Hafiz Abu Bakar turut mendedahkan bukti berbentuk jawapan bertulis Parlimen yang mengesahkan YWP bukan agensi kerajaan, tetapi sebuah syarikat diperbadankan di bawah Akta Syarikat.

Khalid berkata, tidak wajar Persatuan Penduduk TTDI membantah keputusan Putrajaya meneruskan projek itu yang akan memanfaatkan penghuni rumah panjang yang tinggal di kawasan itu selama 38 tahun tanpa sebarang pembelaan.

“Malangnya bagi mereka ‘nothing’, mereka hendak semua 25 ekar, termasuk tapak rumah panjang dan kuil, akhirnya yang tidak dapat apa-apa adalah penghuni rumah panjang. Kalau kita gagal untuk laksanakan projek Taman Rimba Kiara ini, penghuni rumah panjang hendak pergi mana?

“Kenalah bertolak ansur, cari satu keadaan di mana kita dapat situasi menang-menang. Pemaju projek itu sudah kompromi sebanyak 50%, dia beli 12 ekar tanah dan daripada 6 ekar tanah, 4 ekar pula sudah dipulangkan kepada penduduk TTDI.”

Menerusi perjanjian Perintah Pembangunan dan Perjanjian Penempatan Semula (MRA) antara Persatuan Perumahan Awam Bukit Kiara pada 2015, penghuni rumah panjang boleh terus tinggal di rumah panjang sehingga selesai pembinaan Rumah Residensi Wilayah.

Rumah Residensi Wilayah yang dicadangkan itu terdiri daripada 1 blok pangsapuri di atas tanah seluas 1 ekar, kira-kira 10m dari rumah panjang sedia ada.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, pemaju projek Taman Rimba Kiara bersetuju mengurangkan saiz projek itu daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar, tetapi sebuah blok pangsapuri terdiri daripada 350 unit bagi kegunaan penduduk rumah panjang Bukit Kiara akan dikekalkan.

DBKL meluluskan projek itu pada Julai 2017, walaupun dibantah ramai penduduk sekeliling, termasuk Persatuan Penduduk TTDI.

Projek itu mencetuskan kontroversi apabila DBKL mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.8 hektar daripada 10.1 hektar di Taman Rimba Kiara pada April 2017.

Pemaju merancang membina satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk penduduk rumah panjang Bukit Kiara dan 8 blok kondominium mewah setinggi 50 tingkat.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bagaimanapun menolak cadangan mengecilkan saiz projek pembangunan Taman Rimba Kiara dekat TTDI itu dengan alasan ia tidak mempunyai perbezaan dengan projek asal yang diluluskan bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.