Petempatan baru rumah panjang TTDI hanya di tapak sedia ada, kata Hannah Yeoh

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata, sebarang perancangan yang menjangkaui kawasan Taman Rimba Kiara tidak dibenarkan bagi memulihara kawasan hijau.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menegaskan pembangunan semula petempatan baru bagi penduduk rumah panjang Taman Tun Dr Ismail (TTDI) hanya boleh dijalankan di tapak sedia ada.

Sebarang perancangan yang menjangkaui kawasan Taman Rimba Kiara tidak dibenarkan bagi memelihara dan memulihara kawasan hijau.

“Kami tidak pernah membantah (penghuni) rumah panjang untuk mendapat perumahan baru, malah kami sangat mengalu-alukannya, tetapi kami tidak mahu (petempatan semula) perumahan baru itu dibina melangkau masuk ke Taman Rimba Kiara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran ‘BukuDrive’ anjuran UEM Sunrise di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menegaskan projek pembangunan Taman Rimba Kiara adalah untuk membina semula petempatan penduduk rumah panjang di kawasan itu.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, DBKL mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan 1 blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat.

Keputusan itu mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan itu.

Isnin lepas, Khalid dilaporkan berkata, pemaju projek di Taman Rimba Kiara bersetuju mengurangkan saiz dan jumlah blok pangsapuri dengan keluasan projek itu dikecilkan daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar.

Antara pembangunan yang akan diteruskan, 4 blok kondominium berbanding 8 blok sebelum ini, serta 1 blok rumah mampu milik yang akan diserahkan kepada 100 penduduk rumah panjang.