Polis akan lengkap siasatan video bicara kes Najib tak lama lagi

Tangkap layar klip video menunjukkan peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah menyoal seorang saksi.

SELAYANG: Polis akan berusaha melengkapkan siasatan ke atas bekas pegawai khas Najib Razak, Isham Jalil kerana memuat naik rakaman kamera litar tertutup perbicaraan kes bekas perdana menteri itu ke media sosial minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan masih dijalankan dan kes itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya tidak lama lagi.

“Jangan risau, bagi kepercayaan kepada kami untuk melakukan siasatan secara telus,” katanya selepas melawat Hospital Selayang sempena sambutan Hari Polis ke-212 hari ini.

Pada 19 April lalu, video selama 2 minit 12 saat bertajuk “Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib” yang memaparkan rakaman peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi tersebar di Facebook.

Rakaman CCTV itu dipercayai sedutan prosiding hari ke-5 Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada 18 April lalu.

Susulan itu, Fuzi dilaporkan berkata, Isham sudah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung tindakannya pada Rabu lalu.

Sebelum ini, Isham melalui Facebooknya mempertahankan tindakan itu dengan berkata, Malaysia sehingga kini tiada peraturan bertulis mengenai siaran rakaman transkrip video (CRT) prosiding mahkamah.