‘Rahmatan Lil Alamin’ akan jadi dasar baru negara, kata Mujahid

Mujahid Yusof Rawa berharap setiap kementerian akan membawa konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ dalam setiap aktviti anjuran mereka untuk mencapai sasaran negara rahmat.

KOTA BHARU: Gagasan “Rahmatan Lil Alamin” (rahmat untuk seluruh alam) akan menjadi dasar baru negara dalam usaha kerajaan membentuk citra baru Malaysia pada masa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, kertas cadangan berteraskan konsep Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia sudah diluluskan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 14 Mac lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Ia dijangka menjadi antara agenda untuk diluluskan pada mesyuarat Kabinet bulan depan dan sebaik diluluskan, ia akan menjadi gagasan masa depan bagi membentuk Malaysia baru yang perlu disokong semua pihak kerana ia sudah menjadi dasar kerajaan.

“Walaupun cadangan ini belum dibawa ke Kabinet, namun saya sudah menjelajah 5 kementerian sebelum ini untuk menjelaskan gagasan ini dalam bentuk diskusi bersama menteri dan insya Allah, saya akan ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia (dalam masa terdekat) untuk memberi penerangan.”

Katanya pada Program Jelajah Kampus Rahmatan Lil Alamin di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.

Beliau turut berharap setiap kementerian dapat membawa konsep itu dalam setiap aktviti anjuran mereka untuk mencapai sasaran negara rahmat.

Mengulas Program Jelajah Kampus Rahmatan Lil Alamin itu, Mujahid berkata, pihaknya akan mewujudkan platform bagi membolehkan mahasiswa dari universiti awam berkongsi pandangan mereka mengenai perkara semasa.

“Platform ini akan dibentuk mewakili setiap kampus masing-masing dan mungkin sekali atau 2 kali sebulan kita akan berhimpun menerusi sesi perbincangan supaya dapat maklum balas yang bernas.”