SPRM reman ‘Datuk Seri’, ‘Datuk’ didakwa rasuah penguat kuasa kementerian

Kedua-dua suspek disyaki bersubahat membayar rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat mereka yang menjalankan aktiviti mengutip deposit secara tidak sah.

PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan 2 pegawai kanan syarikat pembekalan masing-masing bergelar ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ direman 4 hari bagi membantu siasatan kes rasuah kepada penguat kuasa sebuah kementerian pada tahun 2017, yang dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.

Perintah reman itu yang bermula hari ini dikeluarkan majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini setelah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

‘Datuk Seri’ wanita berumur 49 tahun itu merupakan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pembekalan ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada kira-kira 5.30 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.

‘Datuk’ lelaki berusia 55 tahun itu pula merupakan penasihat syarikat tersebut ditahan di kawasan Dutamas Raya, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Kedua-dua individu itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.20 pagi untuk proses reman tersebut.

Dilaporkan siasatan awal mendapati kedua-dua suspek telah bersubahat membayar rasuah kepada penguat kuasa sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat mereka yang menjalankan aktiviti mengutip deposit bagi pelaburan yang tidak sah sekitar Julai 2017.