Suruhanjaya air nafi laporan tarif air naik RM10 hingga RM15

Charles Santiago berkata, kali terakhir Pahang menaikkan tarif air adalah 36 tahun lalu, bukannya 38 tahun seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Cina.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menafikan pernah mengeluarkan kenyataan tarif air akan dinaikkan sekitar RM10 hingga RM15 seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina semalam.

Pengerusinya, Charles Santiago berkata semasa sesi wawancara dengan akhbar itu, beliau sama sekali tidak menyebut sebarang peratusan atau kadar kenaikan, sebaliknya hanya berkongsi maklumat mengenai konsultasi awam yang sedang dijalankan berhubung proses berkenaan.

“Dalam wawancara itu, saya berkongsi mengenai 4 isu, iaitu penjimatan air, mekanisme penetapan tarif air, pengurusan air adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan polisi pencegahan rasuah demi mengurangkan tarif air,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ahli Parlimen Klang itu turut memperbetulkan laporan akhbar itu dengan berkata, kali terakhir Pahang menaikkan tarif air adalah 36 tahun lalu, bukannya 38 tahun seperti dilaporkan.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang pengumuman mengenai kenaikan tarif air kerana perkara itu tertakluk di bawah bidang kuasa Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar.

“Hanya menteri terlibat berkuasa membuat sebarang pengumuman berkaitan tarif air selepas mendapat persetujuan daripada Kabinet dan kerajaan negeri berkaitan.”