Timun elak nafas berbau

(Gambar lumitea.com)

Apabila disebut timun ramai beranggapan makanan ini hanya dihidangkan sebagai pelengkap ulam-ulaman, acar atau dijadikan penambah dalam masakan.

Ia juga dihidangkan dengan makanan seperti nasi lemak, sate, burger dan pelbagai lagi juadah lain yang menyelerakan.

Rasanya yang segar dan mengandungi banyak air bukan saja sesuai diolah sebagai makanan, tetapi juga minuman.

Ini kerana jus timun memberikan pelbagai kebaikan kepada tubuh kerana mengandungi 0.65% protein, 0.1% lemak dan 2.2% karbohidrat.

Selain menyokong pencernaan dan mengawal tahap gula dalam darah, ia juga boleh mengelakkan nafas berbau.

Sebab itu pada zaman purba dahulu, timun digunakan sebagai ubat herba tradisional di India.

Antara khasiat lain :

1. Membantu mencegah kanser

Kajian menunjukkan timun mengandungi polifenol dipanggil lignan, yang membantu merendahkan risiko kanser.

Penelitian yang dijalankan penyelidik di Pusat Kanser Amerika Syarikat, Robert H Lurie menyatakan timun boleh membunuh pelbagai jenis sel kanser, mengecilkan tumor dan merangsang sistem kekebalan tubuh.

2. Membantu menurunkan berat badan

Kadang-kadang kita keliru dengan rasa lapar – apakah badan memerlukan air atau makanan? Kalau anda juga mengalami kekeliruan ini, minumlah dulu sebaik berasa lapar kerana ramai orang tidak sedar badan mengalami kekurangan air.

Jadi timun antara sayur-sayuran yang banyak air, kaya serat dan boleh dimakan begitu saja untuk menambah kandungan air dalam badan.

3. Menjadikan kita sentiasa awet muda!

Timun kaya antioksidan yang mampu mencegah kerosakan sel dalam tubuh disebabkan oleh radikal bebas.

Selain itu, timun juga kaya dengan vitamin C dan mineral yang dapat mencegah proses penuaan secara semula jadi.

Oleh itu selain makan timun, anda boleh mengamalkannya dalam bentuk minuman, iaitu jus timun.

(Gambar lumitea.com)

Bahan-bahan untuk membuat jus timun:

  • 2 biji timun
  • 5 biji limau kasturi
  • 3 tangkai daun pudina
  • 1 sudu air gula
  • Ais (boleh juga diminum suam)

Sumber Bidadari.my

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]