Wanita sedar selepas 27 tahun koma akibat kemalangan

Seorang wanita yang koma selama 27 tahun akibat kemalangan jalan raya, akhirnya sedar selepas terdengar anak lelakinya bertekak dalam bilik rawatannya di hospital.

Munira Abdulla mengalami kecederaan otak selepas kereta dipandu bapa saudaranya dirempuh sebuah bas di Al Ain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 1991.

Anaknya, Omar Webair, dalam temuramah dengan The National berkata, ketika kejadian, dia baru berusia 4 tahun. Kemalangan itu berlaku ketika ibu dan bapa saudaranya dalam perjalanan menjemputnya dari tadika.

Daily Mail melaporkan Munira memeluk Omar bagi melindungi anaknya daripada impak rempuhan.

Akibatnya, Munira parah di kepala, manakala Omar pula lebam.

Omar berkata, ibunya dihantar ke sebuah hospital di London dan doktor mengesahkan dia koma.

Wanita itu kemudian dipindahkan ke UAE dan terpaksa bergantung kepada alat pernafasan untuk terus hidup.

Keluarga Omar bertuah apabila Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed, menanggung kos rawatan susulan Munira di Jerman pada 2017.

Menurut Omar, selepas setahun dirawat di Jerman, ibunya mengeluarkan bunyi aneh pada 2018 dan 3 hari kemudian, dia berupaya memanggil nama anaknya.

“Saya sangat gembira. Sudah bertahun-tahun saya impikan saat bahagia ini. Nama saya adalah perkataan pertama yang ibu sebut apabila beliau sedar.”

Kini, Munira boleh berbual dengan ahli keluarganya, tetapi dia masih terlantar dan perlu menjalani fisioterapi untuk menguatkan tisu otot.

Kes seperti ini sangat jarang berlaku dan dikatakan hanya satu dalam 1,000 pesakit sedar setelah koma selama bertahun-tahun.

Sumber BBC News

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]