Kajian sokongan merosot jadi peringatan buat PH, kata Saifuddin

Saifuddin Nasution berkata peringatan mengenai kemerosotan sokongan pengundi terhadap PH perlu supaya kerajaan tidak tergelincir daripada mandat rakyat.

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mengambil positif keputusan kajian firma tinjauan pendapat awam, Merdeka Center, yang menunjukkan kemerosotan tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyifatkan kajian itu sebagai sesuatu yang baik untuk kerajaan PH mengenal pasti isu berbangkit yang menyumbang kepada kurangnya populariti sokongan.

Bagaimanapun, menurutnya beliau berbeza pendapat dari segi peratusan kajian itu berikutan firma terbabit sebelum ini pernah meramalkan Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah selepas pilihan raya umum ke-14, namun ramalan itu meleset.

“Kajian kali ini saya respons dari 2 perkara. Dari segi isu-isu yang menyumbang kepada menurunnya peratusan sokongan itu saya terima dengan jujur. Tapi dari segi peratusan, saya sedikit berbeza pendapat kerana mengambil pengalaman agensi yang sama membuat ramalan ternyata jauh meleset.

“Tapi ia sesuatu yang baik dan positif untuk kerajaan PH kerana peringatan-peringatan ini adalah perlu supaya kami tidak tergelincir daripada mandat rakyat ketika memilih kami tempoh hari untuk menjadi kerajaan yang cekap dan bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kepenggunaan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat negeri, malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan tinjauan pendapat oleh Merdeka Center yang dikeluarkan semalam mendapati kadar puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan PH merosot daripada 79% pada 31 Mei tahun lalu kepada 39% pada 11 Mac lepas.

Kaji selidik melibatkan 1,204 pengundi yang dijalankan di seluruh Malaysia di antara 5 dan 11 Mac lepas itu turut menunjukkan hanya 34% responden percaya negara kini berada di landasan yang betul berbanding 55% pada Ogos 2018.

Selain itu, kajian sama mendapati hanya 46% rakyat berpuas hati dengan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.