Kerajaan tawar belia Orang Asli ikuti latihan industri secara percuma

Kerajaan akan menampung pembayaran memasuki ILP bagi belia Orang Asli sebanyak RM700 merangkumi yuran pengajian, kelengkapan seperti pakaian seragam dan kasut but. (Gambar Bernama)

IPOH: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan masyarakat Orang Asli ditawarkan menyambung pengajian ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) secara percuma.

Khabar gembira itu diumumkan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran sebagai usaha untuk menggalakkan lebih ramai belia Orang Asli lepasan SPM mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membolehkan mereka memiliki kemahiran, seterusnya memperoleh peluang pekerjaan.

Katanya ketika ini, bayaran memasuki ILP bagi pengajian peringkat sijil adalah RM700 merangkumi yuran pengajian di samping kelengkapan lain seperti pakaian seragam dan kasut but.

“Sekarang kita bagi kelonggaran hanya kepada Orang Asli, semua ini (bayaran RM700) akan dibiayai oleh kerajaan 100%.

“Makan, minum percuma serta diberikan elaun sebanyak RM100 sebulan,” katanya katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat program TVET untuk pelajar dan ibu bapa Masyarakat Orang Asli di Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak di Kampung Kerawat, Simpang Pulai, kira-kira 25km dari sini.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga akan melonggarkan syarat kemasukan ke ILP bagi belia Orang Asli dengan mengecualikan keperluan lulus Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik dan 1 subjek lain dalam SPM.

“Kita beri peluang besar kepada mereka, beri kelonggaran asalkan tahu baca dan menulis kita tawarkan kursus yang sesuai kepada mereka,” katanya sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai galakan luar biasa kepada Orang Asli yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek.

Terdahulu, dalam ucapannya Kula Segaran berjanji akan memastikan masyarakat Orang Asli turut diberi keutamaan dalam peluang pekerjaan demi mengurangkan kadar kemiskinan.

“Saya janji akan berusaha pastikan Orang Asli dapat kerja kerana mereka ini mustahak sekali dalam negara… 99% Orang Asli miskin tidak boleh terima, kita mahu lawan,” katanya.

Dalam majlis itu, Kula Segaran juga menyatakan komitmen untuk membantu mengatasi masalah telekomunikasi di Kampung Kerawat dengan membawa isu tersebut kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Saya akan balik ke Putrajaya bagi tahu menteri (Gobind Singh Deo) supaya bagi kelonggaran di sini sekurang kurangnya bina 1 stesen telekomunikasi. Ini antara kita boleh buat,” katanya.