Lelaki bersenjata, pengebom bunuh diri maut di timur Sri Lanka

Pihak keselamatan Sri Lanka terus mengepung dan mengadakan perintah berkurung di lokasi kejadian bagi mencari saki baki pengganas. (Gambar Bernama)

COLOMBO: 2 lelaki bersenjata dan 4 pengebom bunuh diri maut dalam pertembungan dengan tentera Sri Lanka di bandar Kalmunai timur negara itu pada Jumaat malam, memetik sumber tentera pada Sabtu.

Seorang pegawai tentera berkata, pengganas melepaskan tembakan sebaik tentera menyerbu sebuah rumah yang dipercayai dijadikan kediaman beberapa anggota pengganas Daesh.

Beberapa pengebom bunuh diri kemudian meletupkan diri di rumah terbabit, lapor agensi berita Xinhua.

Tentera kemudian menemui 13 lagi mayat, termasuk 3 wanita, 6 kanak-kanak dan 4 lelaki.

Menurut tentera mangsa yang maut termasuk orang awam.

Operasi diteruskan bagi mengesan saki baki disyaki pengganas yang mungkin masih bersembunyi dan seluruh kawasan di lokasi kejadian masih dikepung.

Perintah berkurung masih dikuatkuasakan di bandar Kalmunai dan kawasan sekitarnya sejak malam tadi.

Terdahulu pada Jumaat petang tentera berkata, pasukan keselamatan menemui bendera milik Daesh dan beberapa objek lain dari sebuah rumah di Ampara.

Rumah terbabit dipercayai digunakan sebagai tempat untuk anggota kumpulan Daesh melafazkan ikrar taat setia terhadap organisasi pengganas itu.