Pihak anti Statut Rom sebar hujah palsu kedaulatan negara tergugat, kata bekas diplomat

Bekas duta Malaysia ke Belanda dan pengasas bersama G25, Noor Farida Ariffin.

KUALA LUMPUR: Seorang bekas diplomat yang mencadangkan supaya Malaysia meratifikasi Statut Rom mengkritik pihak anti statut itu yang menyebarkan sentimen perkauman dan keagamaan dengan menggunakan hujah palsu bagi menolaknya.

Bekas duta ke Belanda, Noor Farida Ariffin berkata, Malaysia sebelum ini sudah meratifikasi Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1948 yang turut tidak membenarkan imuniti ketua negara.

“Sama ada kita bersetuju atau tidak mengenai Statut Rom, jika mana-mana anggota tentera kita atau mana-mana ahli Kabinet atau perdana menteri memerintahkan angkatan tentera kita melakukan jenayah penghapusan etnik, mereka tetap boleh diambil tindakan,” katanya.

Ketika ditemui selepas satu forum awam bertajuk Malaysia dan Statut Rom di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Noor Farida berkata, di bawah konvensyen itu perlu ada bukti atau penglibatan langsung pihak eksekutif atau pemerintah yang memberi arahan supaya genosid itu dilakukan.

Noor Farida menjelaskan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh sewenang-wenangnya didakwa berikutan kedudukan sebagai ketua istiadat angkatan tentera kerana arahan eksekutif datangnya daripada perdana menteri atau Kabinet.

Beliau berkata, sebagai negara bertanggungjawab dan dihormati masyarakat antarabangsa, Malaysia tidak mungkin tidak menyerahkan individu yang disyaki melakukan jenayah serius terhadap komuniti antarabangsa kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Seperti disebutkan sebelum ini, ICC adalah sebuah mahkamah penyelesaian terakhir,” katanya.

Menurut Noor Farida, ini bermakna ratifikasi Statut Rom tidak secara automatik menyebabkan kedaulatan negara terhakis kerana negara anggota mempunyai hak asasi untuk membicarakan individu terbabit di mahkamah kebangsaan mereka.

“Prinsip pelengkap ini perlu difahami dalam konteksnya yang tepat dan sepenuhnya yang bermakna bidang kuasa ICC hanya akan terpakai apabila negara terbabit tidak bersedia atau tidak mampu menjalankan siasatan atau membuat pendakwaan.”

Bagaimanapun kata Farida, bagi membolehkan prinsip pelengkap yang disebut di dalam statut tersebut terlaksana, Malaysia perlu memasukkan peruntukan daripada ICC ke dalam undang-undang domestik.

4 jenayah di bawah statut berkenaan yang perlu dimasukkan ke dalam Kanun Acara Jenayah sebelum mahkmah tempatan boleh mendakwa mana-mana individu adalah genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah pencerobohan dan jenayah perang.

Farida berkata, walaupun Malaysia tidak menyertai triti itu, Majlis Keselamatan PBB masih boleh merujuk kepada pendakwa ICC supaya menyiasat negara ini jika ia terlibat melakukan mana-mana 4 jenayah kejam itu.

“Disebabkan itu, hujah yang menyebut bahawa Yang di- Pertuan Agong boleh didakwa atau hujah bahawa kita menjadi lebih rendah daripada ICC adalah tidak benar,” katanya.

Mac lepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom berikutan tekanan beberapa pihak, terutamanya Raja-raja Melayu.

Terdahulu satu memorandum yang disediakan oleh 4 ahli akademik dikemukakan kepada Majlis Raja-raja berhubung isu Statut Rom dan dikatakan menjadi punca menyebabkan Raja-raja enggan memberi persetujuan membenarkan Malaysia meratifikasi statut berkenaan.

Memorandum berkenaan didedahkan di laman Facebook oleh sekumpulan pelajar diketuai graduan undang-undang Asheeq Ali.

Farida berkata, Pejabat Peguam Negara di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang membantah penyertaan Malaysia dalam Statut Rom.

Katanya, bekas menteri luar, Anifah Aman juga enggan menandatangani instrumen penyertaan triti berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya Malaysia menyertai Statut Rom, kerajaan boleh merujukkan kes seperti pesawat Penerbangan Malaysia yang ditembak jatuh di Ukraine supaya disiasat oleh pendakwa ICC.

“Kita juga boleh merujukkan genosid masyarakat Uighur di China atau orang Rohingya di Burma kepada ICC.”

Beliau berkata, keputusan untuk meratifikasi atau menyertai mana-mana triti antarabangsa merupakan keputusan eksekutif.

“Di negara lain, ia didebatkan di Parlimen dan Parlimen perlu memberi kelulusan.

“Dalam kes kita, tidak perlu merujuk kepada Agong. Kita tidak perlu merujuk Majlis Raja-raja dan tidak perlu merujuk kepada Parlimen.”

Beliau juga percaya, kerajaan bertindak terburu-buru dalam mengumumkan penarikan diri daripada perjanjian itu.

“Sekarang mereka sepatutnya membentuk sebuah jawatankuasa pakar dan merancang strategi komunikasi yang sesuai.

“Oleh sebab itulah kita adakan forum ini bagi menggalakkan perbincangan mengenai Statut Rom dalam kalangan orang awam supaya rakyat faham dan tidak berasa takut mengenainya.

“Ia bukan agenda kuasa besar,” katanya dengan menambah bahawa negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China bukan merupakan anggota triti tersebut.

Katanya gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan forum tersebut akan menghantar satu memorandum kepada kerajaan dengan memperincikan cadangan mereka dan menggesanya menimbangkan semula keputusan menarik diri daripada Statut Rom.

NGO terbabit antara lain adalah Ikram, Sisters in Islam, Patriot dan G25.