Shafie tolak dakwaan calon DAP Sandakan tiada pengalaman

Presiden Warisan, Shafie Apdal.

SANDAKAN: Calon DAP, Vivian Wong mungkin muda tetapi beliau matang untuk umurnya dan calon yang sempurna untuk Sandakan, kata Presiden Warisan Shafie Apdal.

Bercakap kepada pemberita di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Sandakan hari ini, Shafie menolak dakwaan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili bahawa Parlimen bukan tempat untuk mereka setahun jagung.

“Vivian mengikut rapat bapanya, Stephen Wong, yang merupakan ahli Parlimen Sandakan sebelum ini. Dia bukanlah orang baru.

“Apa yang lebih penting adalah keperluan menyelesaikan masalah rakyat. PBS gagal berbuat demikian walaupun mereka berada dalam kerajaan selama lebih dari 20 tahun.

“Anda perlu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk menangani keperluan rakyat di Sabah dan saya tidak fikir PBS boleh melakukannya. Mereka cuba tetapi gagal,” katanya.

Shafie, yang juga ketua menteri Sabah, berkata Vivian mampu memikul tanggungjawab sebagai ahli Parlimen walaupun usianya masih muda.

Katanya, beliau melihat Vivian memberi ucapan dan beliau kagum dengan keupayaan wanita itu menyatakan pendapatnya.

Bagaimanapun, Shafie menasihati penyokong Pakatan Harapan dan Warisan supaya tidak terlalu yakin dalam PRK itu.

“Perkara yang paling penting ialah kita perlu terus turun padang dan bertemu dengan rakyat. Saya yakin orang-orang di Sandakan bijak dan tahu siapa yang mereka mahu bagi mewakili mereka,” katanya.

Mengulas mengenai keraguan rakyat terhadap kerajaan negeri, Shafie berkata rakyat harus memberi peluang kepada kerajaan Sabah dan tidak boleh menyalahkan segala-galanya pada kerajaan yang berusia 11 bulan itu.

Beliau berkata kerajaan akan terus melaksanakan agendanya, terutama dalam mewujudkan pekerjaan untuk rakyat.

Mengulas mengenai kajian Merdeka Center yang disiarkan semalam, iaitu hanya 39% pengundi Malaysia berpuas hati dengan kerajaan persekutuan, Shafie berkata pusat kajian itu tidak mengetahui keadaan di Sabah.

“Saya tidak pasti apa yang berlaku di Semenanjung tetapi kita tahu apa yang mereka mahu di Sabah, bukan orang-orang Merdeka Center ini.

“Kami bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan tetapi saya yakin, dari segi pembangunan, rakan-rakan kami, terutamanya dari DAP, akan membantu kami. Kami memerlukan lebih banyak projek pembangunan di Sabah.

“Sekiranya pengundi menyokong calon bebas, apa yang boleh dilakukan ahli Parlimen bebas dalam tempoh 4 tahun akan datang?

“Sandakan pernah mempunyai ahli Parlimen bebas sebelum ini tetapi tidak mudah baginya menyelesaikan masalah rakyat dan memenuhi tuntutan mereka.