Statut Rom: Tommy Thomas akui gagal yakinkan Majlis Raja-raja

Peguam Negara Tommy Thomas berkata, beliau tidak diberi peluang untuk berdepan 4 ahli akademik yang turut memberi pandangan berhubung Statut Rom kepada Majlis Raja-raja.

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tommy Thomas mengaku gagal memberi penjelasan dengan baik dan menyakinkan kepada Majlis Raja-Raja berhubung manfaat Statut Rom, susulan hasrat Putrajaya mahu meratifikasi statut berkenaan.

“Peluang itu tidak berlaku. Saya gagal yakinkan Majlis Raja-raja. Ia adalah kegagalan di pihak saya,” katanya dalam forum awam “Malaysia dan Statut Rom” di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM).

Menurut Tommy, beliau turut tidak diberikan peluang berdepan dan membentangkan hujahnya dengan 4 ahli akademik yang lebih berjaya menyakinkan Majlis Raja-raja berhubung isu statut tersebut.

“Apa yang mengecewakan adalah saya tidak dapat peluang kerana saya sahaja peguam yang mewakili kerajaan. Jika kami ada di platform sama, untuk berbahas (di hadapan Majlis Raja-raja), saya dapat memberi maklum balas berkaitan hujah mereka.

“Manakala, mereka (4 ahli akademik) itu juga dapat memberi maklum balas berkaitan hujah yang saya lontarkan. Bagaimanapun, saya juga tidak tahu siapa dahulu yang bertemu Majlis Raja-raja,” katanya.

Tommy merujuk kepada 4 ahli akademik, iaitu Rahmat Mohamad, Shamrahayu Ab Aziz, Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi yang dikaitkan dengan penyediaan dokumen dikatakan dikemukakan kepada Majlis Raja-raja pada 2 April lalu berkaitan isu sama.

Empat penulis itu mendakwa, ratifikasi Statut Rom akan menyebabkan Yang di-Pertuan Agong boleh didakwa di Mahkamah Jenayah Antarbangsa atas peranan sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera negara.

Menurut mereka, Agong memegang tanggungjawab operasi sebagai pemerintah tertinggi tentera, melampaui peranan sebagai ketua lambang atau istiadat.

Dalam forum sama, bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii mempersoalkan kewajaran forum itu, selepas Putrajaya memutuskan untuk menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom yang ditandatangani pada 4 Mac lalu.

“Sepatutnya golongan profesional, G25 atau mana-mana pihak kerajaan apabila Putrajaya memutuskan tidak meneruskan Statut Rom, kita ambil maklum dan tidak bergerak. Ini (forum) tidak sepatutnya berlaku.

“Kita bercakap tentang ilmiah. Kamu semua cakap kita orang berpelajaran, tetapi kamu menggelar orang lain bodoh dan gelar 4 profesor itu sebagai bodoh dan “kangkung”,” katanya.

Razlan turut mempersoalkan kegagalan Tommy menyakinkan Majlis Raja-raja sehingga ia lebih menyakini penjelasan 4 ahli akademik tersebut.

“Katakanlah tidak boleh yakinkan Majlis Raja-raja dan mereka menasihatkan supaya tarik balik, nasihatkan perdana menteri supaya tarik balik. Maksudnya kamu (Tommy) gagal meyakinkan Majlis Raja-raja berbanding 4 ahli akademik itu.

“Ini (forum) tidak sepatutnya berlaku. Penerangan berkaitan ratifikasi akan gunakan duit rakyat, duit kerajaan dan agensi kerajaan untuk beri penerangan kepada rakyat supaya terima Statut Rom,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah memanggil 4 ahli akademik berkenaan “profesor kangkung” kerana didakwa memberi pandangan tidak selari dengan kerajaan berhubung isu statut tersebut.