Daftar masuk parti politik jika mahu bercakap politik, Rais Yatim beritahu TMJ

Ketua PPBM Negeri Sembilan, Rais Yatim.

PETALING JAYA: Pengerusi PPBM Negeri Sembilan Rais Yatim hari ini menyarankan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya mendaftar menyertai parti politik jika mahu bercakap mengenai politik.

Rais berkata, ini kerana Tunku Ismail banyak bercakap politik dan meminta supaya beliau menghentikan sindirian mahukan perdana menteri diganti dengan orang lain.

“Itu hak rakyat biasa. Lopak raja lain. Ruang politik lain. Jangan campur aduk ikut selera anak raja saja.

“Nanti huru-hara rakyat. Tolong waras,” katanya di laman Twitter.

Terdahulu tular rakaman video memaparkan Tunku Ismail beredar meninggalkan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor selepas perlawanan Kejuaraan Liga AFC.

Ketika kenderaan SUV berwarna hitam yang membawanya lalu berhampiran orang ramai, peminat JDT melaungkan “hidup TMJ”, tetapi seorang penyokong pula berkata “tukar Mora”, yang merujuk kepada jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Berikutan itu, kenderaan itu tiba-tiba berhenti dan Tunku Ismail didengar sebagai berkata, “daripada tukar Mora, baik tukar perdana menteri”.

Hari ini Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang dilihat merujuk kepada insiden itu berkata, hanya rakyat yang boleh mengubah kedudukannya sebagai perdana menteri dan tidak boleh dilakukan Tunku Ismail.

Hubungan antara Putrajaya dan istana Johor tegang selepas Tunku Ismail secara terbuka menentang keputusan kerajaan meratifikasi Statut Rom.

Tekanan itu kemudiannya menyebabkan Kabinet memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang ditandatangani pada 4 Mac.

Ketika mengumumkan penarikan diri itu pada 6 April, Dr Mahathir berkata, ia berpunca daripada kekeliruan yang dicipta oleh orang tertentu “yang ingin bebas memukul orang dan melakukan perkara seperti itu”.

Tekanan daripada istana Johor turut dilihat sebagai punca menteri besar Johor, Osman Sapian melepaskan jawatannya pada 8 April lepas. Beliau dilihat mesra dengan Putrajaya.