Hina agama Hindu, pendakwah dikaitkan mufti Perlis, Zakir Naik ditahan polis

Polis menahan pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang rapat dengan mufti Perlis dan kerap mempertahankan Zakir Naik kerana didakwa menghina agama Hindu dalam ceramahnya. (Gambar YouTube )

PETALING JAYA: Seorang pendakwah yang rapat dengan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dan dilihat kerap mempertahankan Zakir Naik, ditahan polis susulan beberapa laporan dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.

Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 35, ditahan anggota polis dari unit Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), di depan sebuah restoran di Arau, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Zamri disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana mengganggu keharmonian dan mengeluarkan kata-kata menghina.

Sebelum ini, Zamri yang juga presiden Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia mempunyai 3 rekod kesalahan dan pernah ditahan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohd sewaktu dihubungi FMT mengesahkan tangkapan berkenaan.

Berdasarkan siasatan polis, Zamri membuat ucapan tersebut di Masjid As Siddiqin, Kampung Panchor, Kelantan pada 30 Disember tahun lalu.

Ceramah berdurasi 57 minit itu kemudiannya dimuat naik ke laman Youtube oleh pengguna akaun Info Sunnah Kelantan.

Siasatan polis mendapati, terdapat 2 kenyataan yang disampaikan di dalam ceramah tersebut mempunyai unsur menghina agama Hindu.

Pada Ogos 2017, Zamri pernah mencetuskan kontroversi apabila menyebabkan solat Jumaat di Masjid Kampung Rawa, Pulau Pinang tidak sah kerana tertinggal rukun khutbah.

Beliau kemudian melalui satu kenyataan memohon maaf kepada jemaah atas kesilapan yang katanya berlaku kerana gugup pertama kali membaca khutbah.

Semalam, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Zamri yang didakwa menghina agama Hindu.